BUKIT MERTAJAM : Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang telah berjaya mengesan pemandu kenderaan pacuan empat roda yang tular di media sosial gara-gara gambar seekor kucing tergantung di bahagian belakang kenderaannya, semalam.
Pengarahnya, Dr. Saira Banu Mohamed Rejab berkata, ketika ini, keterangan suspek telah diambil dan satu kertas siasatan berhubung kejadian itu juga telah dibuka.
“Pada masa yang sama, kucing itu kita telah ambil bagi tujuan siasatan dan pemeriksaan lanjut.
“Haiwan terbabit kini telah menerima rawatan daripada pegawai veterinar yang berkenaan dan kini berada dalam keadaan sihat di bawah jagaan pihak JPV negeri,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau mengesahkan bahawa pihaknya telah menerima aduan rasmi mengenai kejadian tersebut yang berlaku di Jalan Merak Jaya 5, Simpang Ampat, Tambun kira-kira pukul 11.30 pagi semalam.

Dalam pada itu, Dr. Saira Banu memberitahu, kertas siasatan tersebut telah dibuka di bawah Perenggan 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772).
Katanya, sabit kesalahan, mereka yang didapati bersalah boleh didenda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih daripada RM100,000 atau dipenjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Jelas beliau, kertas siasatan yang lengkap akan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk mendapatkan arahan selanjutnya.
“Dalam kes ini, walaupun pelaku berniat untuk membawa kucing tersebut untuk mendapatkan rawatan di pejabat veterinar, namun, tindakannya membawa haiwan dalam keadaan yang tidak selamat (tidak diletakkan dalam bekas khas) boleh mengundang bahaya,” katanya.
Beliau turut menasihatkan mana-mana orang atau persatuan berkaitan haiwan yang ingin membuat aduan boleh menyalurkan terus aduan tersebut sama ada berkaitan kebajikan dan penganiayaan terhadap binatang kepada DVS melalui pautan awa.dvs.gov.my (My Animal Welfare).
Selain itu katanya, orang ramai diminta agar tidak mengambil sebarang tindakan sendiri yang boleh menganggu siasatan kes.-UTUSAN










