PASIR GUDANG: Setelah hampir lapan bulan menghilangkan diri tanpa berita, penantian Mohd. Yusof Mokhtar, 35, berakhir apabila akan bertemu isterinya, Istiqomah Ahmad Rozi, 33, walaupun bukan dalam keadaan yang diinginkan.
Mohd. Yusof berkata, dia dimaklumkan oleh pihak Hospital Melaka bahawa dia boleh menuntut jenazah isteri yang dibunuh kejam dalam kejadian yang berlaku Disember lalu.
Walaupun dengan berat hati, bapa kepada tiga anak itu reda untuk pergi ke hospital tersebut bagi menuntut jenazah isteri dalam keadaan tidak sempurna itu.
“Alhamdulillah, penantian saya berakhir setelah lapan bulan tak putus-putus ikhtiar mencarinya di merata lokasi.

“Walaupun dapat berita yang menyedihkan ini, kami sekeluarga reda dengan ketentuan-Nya. Setidaknya, ada juga kubur untuk saya dan anak-anak serta keluarga untuk ziarahi nanti,” katanya kepada pemberita semalam.
Mohd. Yusof bersama ahli keluarga serta ibu dan bapa mentuanya bergerak menuju Hospital Melaka pada 8 pagi semalam bagi menuntut jenazah isterinya.
Istiqomah yang juga guru Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Masai 3, itu dilaporkan hilang dan tidak pulang ke rumah selepas keluar bekerja sejak 26 Disember lalu.
Pada 6 Januari lalu, mayat wanita tanpa kepala, kedua-dua tangan dan kaki ditemukan dalam tong sampah di tepi jalan Alor Gajah-Tampin berdekatan Kampung Tanjung Rimau Luar, Pulau Sebang kira-kira 2 petang.
Siasatan awal disyaki mangsa dibunuh dengan anggota badan iaitu kepala, tangan dan kaki dipotong dan disumbat ke dalam tong sampah sebelum dibuang ke dalam longkang.
Pada 12 Ogos lalu, polis mengesahkan mayat berkenaan adalah Istiqomah Ahmad Rozi, yang dilaporkan hilang pada 27 Disember tahun lalu.
Susulan itu, sepasang suami isteri berusia 37 dan 36 tahun ditahan polis di Chemor, Perak pada 5 Ogos lalu bagi membantu siasatan.
Hari ini, suspek lelaki berusia 37 tahun itu dituduh di Mahkamah Majistret Melaka untuk didakwa di bawah 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Suspek itu merupakan kenalan lama Istiqomah ketika melanjutkan pengajian di maktab perguruan.
Mengulas lanjut, Mohd. Yusof memberitahu, jenazah isteri yang akan dituntut di Hospital Melaka itu akan terus dibawa pulang ke di Kampung Kubang Badak, Pasir Mas, Kelantan untuk dikebumikan.
“Insya-Allah, saya akan bawa balik ke Kelantan untuk dikebumikan. Jika sempat hari ini, kita akan kebumi hari ini juga, jika tidak, kita akan buat keesokan paginya.
“Untuk lihat keadaan jenazah, sejujurnya saya tak sanggup, mungkin arwah pun taknak saya lihat dia dalam keadaan seperti itu. Sebagai suami, saya reda dan ikhlas lepaskan arwah pergi, moga syahid buat bidadari syurgaku,” ujarnya. – UTUSAN











