SEREMBAN: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan menyiasat kejadian tumpahan minyak di pintu kawalan pasang surut saliran Chuah, Gate B di Jimah, Port Dickson, semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan berkata, sebanyak empat sampel telah diambil selepas aduan diterima daripada pengadu.
“Empat sampel berkenaan merangkumi sampel minyak yang bertakung atas tanah, sampel air sungai di pintu kawalan pasang surut saliran Chuah, Gate B, sampel air longkang di lot tanah serta sampel tanah tercemar.
“Terdahulu, JAS menerima maklumat pengadu menyatakan bahawa terdapat tumpahan minyak yang mengalir dari saliran rancangan Chuah ke pintu kawalan pasang surut Chuah serta mengatakan aliran tersebut berwarna hitam pekat dan gelap.
“Siasatan dan pemantauan mendapati aliran air terus mengalir ke pintu kawalan pasang surut saliran Chuah, Gate B,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, JAS telah mensyorkan supaya siasatan diteruskan dan pemantauan secara mingguan di lokasi kejadian disamping penerbangan drone untuk memantau kawasan sekeliling.
“Perincian mengenai bahan yang disyaki tercemar juga akan diketahui setelah mendapat keputusan dari Jabatan Kimia Malaysia.
Dalam pada itu, menurut Veerapan, JAS juga akan mengeluarkan notis arahan bawah Seksyen 31 dan Seksyen 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 akan dikeluarkan terhadap pemilik tanah setelah mendapat maklumat dari Pejabat Tanah Port Dickson. – UTUSAN










