Jangan sangka kami bergembira dengan berita perceraian Syamsul - Yusof Haslam - Utusan Malaysia

Jangan sangka kami bergembira dengan berita perceraian Syamsul – Yusof Haslam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Jangan salah faham, mengatakan saya dan isteri bertepuk tangan. Demi Allah tak ada niat, dan saya tak tahu perkara ini berlaku.”

Demikian maklum balas pengarah, Datuk Yusof Haslam, 70, mengenai perceraian anaknya yang juga pengarah, Syamsul Yusof baru-baru ini.

Yusof berkata, dia dan isterinya reda dengan ketentuan tersebut dan mendoakan yang terbaik untuk anaknya itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Apa pun saya doakan terbaik untuk pihak sana (Ira Kazar) atau pun sini. Jangan anggap kami gembira dengan berita perceraian ini.

“Kami reda dengan apa yang berlaku. Tak mahu mengguris hati sesiapa.

“Sebagai ayah, saya doakan yang terbaik untuk Syamsul. Apa yang silap, perbetulkan,” katanya yang ditemui semasa sidang media pertama Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) petang tadi.

Semalam nama Syamsul kembali meledak selepas didakwa memfailkan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, baru-baru ini.

Menurut sumber, perceraian tersebut dilakukan selepas dikatakan tiada lagi kesefahaman antara pasangan itu.

khabar angin mengenai keretakan rumah tangga mereka diperkatakan sejak Oktober tahun lalu namun kedua-duanya mengunci mulut mengenai dakwaan tersebut.

Mereka juga tidak mengesahkan dakwaan sedang menimang cahaya mata pertama.

Terdahulu, Syamsul dan Ira atau nama sebenarnya Faghirah Fatini Kazaruddin bernikah di Selatan Thailand pada 6 Januari tahun lalu.

Syamsul sebelum ni pernah bergelar suami kepada pelakon, Puteri Sarah Liyana namun perkahwinan mereka terlerai 13 Jun 2023.

Sementara itu, Yusof memaklumkan tidak menyimpan harapan agar bekas menantunya, Puteri Sarah Liyana kembali bergelar isteri kepada Syamsul.

Katanya, dia hanya mengharapkan yang terbaik dan mendoakan yang baik untuk semua pihak.

“Saya tak boleh komen tentang itu. Ini semua ketentuan Allah. Saya reda.

“Semalam Puteri Sarah ada datang berjumpa saya dan isteri. Reda sahaja.

“Saya tak boleh kata mahu Sarah balik ke pangkuannya atau sebaliknya. Itu bukan urusan kita. Yang menentukan kehidupan mereka adalah mereka sendiri. Biar mereka tentukan.

“Saya cuma mengharapkan dan mendoakan yang terbaik untuk semua pihak,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini