Jangan pilih bulu, utamakan graduan TVET - Ahmad Zahid - Utusan Malaysia

Jangan pilih bulu, utamakan graduan TVET – Ahmad Zahid

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemaju, kontraktor utama dan subkontraktor dalam sektor pembinaan diingatkan supaya tidak memilih bulu dan memberi keutamaan kepada graduan aliran pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) berbanding pekerja asing.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menekankan bahawa kebergantungan negara kepada pekerja asing perlu dikurangkan dari semasa ke semasa dan harus diambil alih oleh pekerja mahir tempatan.

Beliau berkata, keutamaan harus diberikan kepada graduan lulusan TVET pembinaan terutamanya dari Akademi Binaan Malaysia (ABM).

“(Oleh demikian) kerajaan akan mendukung usaha-usaha yang akan dilakukan pihak mereka supaya kualiti pembinaan bukan saja disumbangkan oleh pekerja asing tetapi kita mahu melihat bahawq 100 peratus sektor pembinaan dijana 100 peratus tenaga tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Pelancaran Slogan CIDB Peneraju Tvet Pembinaan Bersempena dengan Majlis Graduasi Akademi Binaan Malaysia (ABM) & CIDB Technologies bagi Wilayah Tengah, di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu adalah Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Ahmad Zahid turut mengingatkan supaya pemaju dan kontraktor tidak memilih bulu dalam mencari pekerja dalam sektor pembinaan.

“(Dari segi) kos mungkin rendah kalau (menggajikan) pekerja asing tetapi ia hanya untuk jangka pendek.

“Tetapi secara jangka panjang, kos yang ditanggung oleh negara dan impak kepada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar), ia merugikan negara,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, beliau mahu graduan ABM diberikan pengiktirafan lebih tinggi daripada sijil sekali gus meningkatkan kebolehpasaran golongan tersebut sebaik tamat pengajian.

Katanya, pendidikan TVET kini mempunyai tahap kebolehpasaran yang tinggi iaitu mencecah 94.5 peratus secara keseluruhannya.

Manakala beliau berkata, tahap kebolehpasaran ABM pula diyakini mencecah 100 peratus bahkan ada yang ditawarkan pekerjaan sebelum menamatkan pengajian.

“Ertinya setiap 100 pelajar TVET hampir 95 mendapat pekerjaan atau mendapat tawaran pekerjaan sebelum tamat kursus,” katanya.

Sementara itu, Nanta Linggi berkata, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) telah mengenalpasti keperluan fasiliti dan infrastruktur pusat latihan dengan mengambil kira unjuran pelatih berkemahiran selaras dengan Dasar TVET Negara 2030.

Katanya, peruntukan tambahqn diperlukan untuk menaiktaraf infrastruktur dan fasiliti di pusat latihan sedia ada supaya kemudahan ditawarkan memenuhi keperluan pembelajaran dan piawaian antarabangsa.

“Kementerian berharap kerajaan dapat mempertimbangkan peruntukan tambahan untuk membina ABM di Sabah dan Selangor selain menaiktaraf pusat latihan sedia ada,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN