KANGAR: Malaysia bakal berdepan isu keterjaminan makanan serius dengan terpaksa bergantung kepada import berterusan untuk menampung keperluan makanan jika cuaca panas dan kemarau berterusan.
Selain pengeluaran beras yang dijangka menurun kepada 50 peratus apabila kira-kira 130,000 hektar sawah di seluruh negara terjejas kerana cuaca panas tahun ini turut menjejaskan pengeluaran sayur-sayuran, buah-buahan dan ternakan seperti ikan, lembu dan ikan.
Risiko keterjaminan makanan negara turut dikaitkan dengan suhu di Malaysia yang direkodkan meningkat sebanyak 1.35 darjah Celsius dalam tempoh 50 tahun.
Pensyarah Kanan (Keusahawanan) Jabatan Perniagaan, Fakulti Perniagaan dan Komunikasi (FPK) Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Dr. Atikah Nor Johari berkata, kemarau ketika ini telah menjejaskan sumber dan ketersediaan air untuk aktiviti pertanian yang menjejaskan pengeluaran tanaman serta ternakan.
Menurut beliau, tanaman seperti padi, sayur-sayuran dan buah-buahan mengalami penurunan pengeluaran dan hasil disebabkan masalah bekalan air untuk pengairan selain cuaca panas turut mengganggu ternakan seperti ikan dan ayam.
Kata beliau, pengurangan tersebut bukan sahaja mengurangkan bekalan makanan berasaskan pertanian dan penternakan sebaliknya juga menjejaskan industri asas tani yang bergantung kepada pengeluaran tersebut sekali gus meningkatkan risiko ketidakstabilan ekonomi.

“Akibat kekurangan pengeluaran ini, negara terpaksa bergantung kepada import yang mana boleh meningkatkan kos. Peningkatan kos ini lebih terasa khususnya kepada golongan berpendatan rendah yang mungkin terpaksa mengurangkan kualiti atau kuantiti makanan mereka bagi menjimatkan perbelanjaan.
“Kemarau ini sangat memberi impak yang ketara kepada isu keterjaminan dan keselamatan makanan negara. Kesan kemarau ini menjadikan pertanian tempatan lebih terdedah kepada kerugian dan gangguan yang memaksa negara untuk lebih bergantung kepada import bagi menampung keperluan makanan di negara ini,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, semalam.
Baru-baru ini Utusan Malaysia melaporkan, Tahap Sara Diri (SSL) pengeluaran beras tahun ini dijangka menurun kepada 50 peratus susulan cuaca panas dan kemarau yang mengakibatkan kira-kira 130,000 hektar sawah di seluruh negara terjejas.
Jumlah tersebut menurun 10 peratus berbanding sasaran SSL tahunan beras iaitu 60 peratus bagi kurangkan kebergantungan negara kepada beras import.
Sementara itu, Atikah Nor berkata, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan melalui dua dasar utama iaitu Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2021-2025 dan Dasar Agro Makanan Negara 2021-2023 perlu bertindak agresif sebagai tindakan balas kepada isu keterjaminan makanan di negara ini.
Katanya, dalam mendepani isu kemarau dalam konteks pertanian terutama berkaitan pengeluaran beras, beberapa langkah penting boleh diambil seperti penggunaan teknologi pertanian yang lebih efisien dalam penambahbaikan kepada sistem pengairan.
“Contohnya melakukan pengairan titisan dan sistem pengairan mikro yang lebih efisien dalam pengurusan air yang membolehkan penyaluran air secara tepat ke akar tanaman. Sistem ini boleh membantu mengurangkan penggunaan air dan memastikan tanaman menerima air yang mencukupi walaupun dalam keadaan kemarau. Penyelesaian ini juga dapat memastikan pengairan lebih tepat dan mengurangkan pembaziran air.
“Manakala dalam konteks penggunaan benih padi, benih padi tahan kemarau memerlukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang berterusan untuk menghasilkan varieti padi yang lebih ‘resilient’ terhadap kekurangan air.
“R&D yang fokus pada penambahbaikan genetik dan ciri-ciri adaptasi terhadap kemarau dapat memastikan benih padi yang lebih tahan, meningkatkan hasil dan kestabilan pengeluaran padi selain dapat mengurangkan kerugian walaupun dalam keadaan cuaca tidak menentu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan juga perlu menyemak semula dan menetapkan polisi serta inisiatif yang menyokong pengurusan sumber air, perlindungan tanah pertanian selain inovasi dalam teknologi pertanian.
Katanya, dasar-dasar ini dapat merangkumi subsidi untuk teknologi pengairan, pembiayaan penyelidikan untuk benih tahan kemarau dan sokongan untuk projek pemulihan sumber air.
“Dengan melaksanakan tindakan ini, Malaysia boleh mengurangkan kesan kemarau terhadap pengeluaran beras dan seterusnya memastikan keterjaminan makanan yang lebih stabil untuk masa depan,” katanya. – UTUSAN









