IPOH: Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) memohon maaf dan amat kesal dengan polemik dan kontroversi yang timbul daripada program lawatan ke sebuah rumah ibadat bukan Islam di ibu negara pada 30 Julai lalu.
Menurut JAIPk, ia menjadi polemik apabila sebuah akhbar menyiarkan klip video kenyataan salah seorang peserta wanita yang telah menimbulkan salah faham sehingga mengundang perdebatan hangat di laman media sosial.
“Jabatan ini terpanggil untuk menjelaskan bahawa wanita berkenaan bukan pegawai atau kakitangan JAIPk seperti yang didakwa, sebaliknya merupakan salah seorang peserta yang mengikuti kursus tersebut secara sukarela.
“Bagaimanapun, jabatan ini memohon maaf kepada semua pihak terutama umat Islam atas kontroversi yang timbul susulan penganjuran kursus serta kenyataan peserta berkenaan sehingga menimbulkan salah faham selain menjejaskan nama baik kerajaan negeri dan pihak berkuasa agama,” katanya di sini hari ini.
Menurut JAIPk, video berkenaan adalah berkaitan lawatan yang diadakan secara tertutup dan dikendalikan oleh Global Unity Network (UNITY) dengan kerjasama JAIPk melibatkan 32 orang peserta terpilih dari seluruh negeri Perak.
Jelasnya, kesemua peserta terlibat sedang mengikuti lima kursus dakwah di bawah JAIPk yang bertujuan meningkatkan kefahaman mereka mengenai hal ehwal aktiviti dakwah, manakala lawatan itu adalah salah satu modul dalam kursus tersebut.
Terangnya lagi, lawatan itu adalah sebahagian daripada pengisian kursus untuk melatih dan meningkatkan keyakinan para peserta dalam menyampaikan dakwah terutama bagi membetulkan banyak salah faham mengenai Islam termasuk kebencian akibat sentimen Islamphobia.
Menurutnya, sebagai antara jabatan yang diberi amanah mengurus hal ehwal dan kepentingan agama Islam, JAIPk tidak sesekali mengendurkan pegangan terhadap prinsip-prinsip maqasid syariah yang selama ini mendasari perjalanan pentadbiran Kerajaan Perak.
Jelasnya, jabatan itu mengambil maklum mengenai arahan dan beberapa ketetapan yang dibuat Kerajaan Perak setelah mendapat titah nasihat Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, supaya isu tersebut ditangani segera bagi mengelakkan ia terus menimbulkan keresahan dalam masyarakat.
Ujarnya, bagi mencegah kontroversi seumpamanya berulang, JAIPk akan mengkaji semula modul dan kaedah pelaksanaan kursus berkenaan selain menetapkan garis panduan khusus kepada peserta yang menyertai program dakwah yang dianjurkan jabatan itu pada masa hadapan.
“Pihak JAIPk juga akan berbincang dengan para pemegang taruh serta pihak-pihak berkuasa agama Islam yang lain termasuk Jabatan Mufti Negeri Perak dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak untuk memikirkan kaedah atau pendekatan kursus dakwah yang lebih sesuai,” ujarnya lagi. – UTUSAN










