KLANG – “Itu memang Am (Nidza Afham) yang juga anak lelaki saya.”
Demikian kata Mokhtar Mahmud, 57, mengenai penemuan jasad Allahyarham Muhammad Nidza Afham, 23, di sekitar Jalan Tepi Sungai berdekatan Sungai Solok di sini, malam tadi.
Menurut guru Sekolah Kebangsaan TTDI Jaya Shah Alam itu, dia bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan daripada ahli keluarga, kira-kira 7.30 petang.
“Saya ketika itu sedang menuju pulang ke rumah di Saujana Utama selepas seharian melakukan usaha mencari Am.
“Setibanya di lokasi, ahli keluarga mengesahkan bahawa jasad itu adalah anak saya berdasarkan wajah dan baju yang dipakainya,” katanya sebak ketika ditemui di tempat kejadian malam tadi.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati suasana pilu menyelubungi kawasan itu yang dihadiri puluhan ahli keluarga dan kenalan Muhammad Nidza.
Pasukan forensik turut dilihat giat menjalankan siasatan sebelum mayat mangsa dibawa ke Hospital Shah Alam bagi proses bedah siasat.
Tambah Mokhtar, dia kali terakhir menemui anak kelima daripada tujuh beradik itu ketika menghadiri majlis perkahwinan seorang lagi anak lelakinya bulan lalu.
“Petang semalam, Am juga sempat menghubungi saya untuk memberi sejumlah wang saku. Justeru, saya masih terkejut dengan kejadian ini namun reda dengan ketentuan Ilahi,” ujarnya.
Tambah beliau, dia menyerahkan kepada polis bagi menjalankan siasatan lanjut dan jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di Puncak Alam.
Terdahulu, Mahmud turut melaungkan azan di Jambatan Kota iaitu lokasi penemuan dompet dan telefon mangsa sebelum dilaporkan hilang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong mengesahkan penemuan mayat seorang lelaki di tepi sungai berkenaan, kira-kira pukul 7 petang.
“Mayat itu ditemukan seorang pemancing yang juga lelaki warga tempatan kira-kira dua kilometer dari lokasi jambatan. Siasatan lanjut masih dijalankan dan polis menunggu hasil laporan bedah siasat hospital,” katanya.
Terdahulu, polis mengesahkan menerima laporan kehilangan penyanyi itu yang keluar rumah pada 7.45 petang semalam.
Polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada adik mangsa pada jam 4.22 pagi, yang menyatakan abangnya ketika itu memakai baju berwarna biru hitam keluar dari rumah di Bandar Puteri, Klang menggunakan perkhidmatan e-hailing ke Stadium Sultan Sulaiman, Klang untuk berjogging.
Muhammad Nidzam Afham pernah menyertai rancangan realiti Can See Your Voice 3, sebelum melancarkan single berjudul Ternyata Bukan Aku. – UTUSAN










