Israel mangsakan rakyat Palestin sebagai 'perisai keselamatan’

Israel mangsakan rakyat Palestin sebagai ‘perisai keselamatan’

- RAKYAT Palestin membawa orang yang cedera dalam pengeboman Israel ke Hospital Al-Aqsa Martyrs di Deir el-Balah di tengah Semenanjung Gaza pada 13 Ogos 2024.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMAQDIS: Tentera Israel didakwa menggunakan orang awam Palestin sebagai perisai manusia dengan mereka dipaksa memakai uniform tentera ketika melakuan serangan di Gaza.

Tindakan itu demi nyawa tentera Israel apabila orang awam dijadikan sasaran serangan apabila melihat individu memakai pakaian seragam pasukan pertahanan Israel.

Perkara itu didedahkan kepada umum menerusi satu siasatan oleh akhbar tempatan Israel, Haaretz yang dikeluarkan kelmarin dan perbuatan tersebut dilakukan dengan pengetahuan pegawai tentera kanan, termasuk Ketua Staf Tentera, Herzi Halevi.

Penyiasatan yang dibuat berdasarkan keterangan daripada tentera dan komander Israel mendedahkan, orang awam Palestin yang dipaksa memakai pakaian seragam tentera Israel terdiri daripada pemuda berusia 20-an.

“Kebanyakan mereka memakai kasut sukan dan bukan but tentera. Tangan mereka dirantai di belakang badan serta wajah mereka penuh dengan ketakutan,” tambah laporan itu.

Laporan itu menggambarkan bagaimana orang awam dipaksa mengiringi tentera Israel semasa operasi dan didesak memeriksa lokasi berbahaya atas alasan nyawa mereka lebih penting daripada penduduk awam Pa­lestin.

“Kepimpinan tertinggi Israel sedar tentang hal ini dan mereka membenarkan penggunaan penduduk Palestin sebagai perisai manusia bagi mengelakkan korban tentera Israel,” jelas Haaretz.

Bukan setakat itu, tentera Israel turut menahan kanak-kanak dan warga emas yang kemudian dipaksa melakukan tugas berbahaya seperti memasuki terowong atau bangunan terbiar dengan kamera diletakkan pada badan mereka.

“Golongan ini dipaksa melakukan tugasan berkenaan jika ingin dibebaskan. Adakalanya mereka akan ditahan selama berhari-hari,” ujar akhbar tersebut. 

Sehingga kini, angka korban dalam kalangan warga Gaza kini mencecah 40,000 orang sejak konflik di wilayah itu sejak Oktober 2023.– AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×