KUALA LUMPUR : Pelakon dan pengacara, Irma Hasmie, 42, mengakui sedar masyarakat mungkin masih bercakap mengenai status perceraiannya dengan bekas suami, Redza Syah Azmeer namun memilih untuk kekal mengunci mulut.
Menurut Irma, dia percaya sekiranya banyak berbicara mengenai isu peribadi terutama melibatkan kisah perceraiannya dengan bekas suami, ia hanya mendatangkan spekulasi buruk.
“Apa pun yang saya jawab, orang masih akan berspekulasi. Jadi, lebih baik ambil pendekatan berdiam daripasa berkata apa-apa. Walaupun apa yang kita cakap itu benda yang betul tetapi orang zaman sekarang tetap suka nak komen.
“Jadi daripada kita memanjangkan cerita, walaupun benda itu kadang kala betul atau tidak, ada saja komen-komen atau pandangan orang terhadap sesuatu isu itu.
“Saya pilih untuk tak mahu cakap banyak mengenai peribadi demi menyelamatkan diri, keluarga serta selamatkan orang sekeliling supaya tidak menimbulkan perkara negatif dan tidak mengundang lebih banyak orang bercerita,”katanya.
Irma berkata demikian semasa ditemui pada majlis pelancaran BeCalm Cookies di Menara Star, di sini, semalam.
Selain itu, jelas Irma, dia juga tidak mampu menghalang atau mengawal tindak tanduk orang daripada terus bercakap mengenai dirinya.
“Macam mana nak halang orang? Kita pun tak tahu dan tak nampak. Sebab itu saya pilih untuk tak cakap apa-apa,”katanya.
Sekadar info, Irma dan Redza mendirikan rumah tangga pada tahun 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syed Irfha,11, dan Irma Nur Naylie,10.
Terdahulu, media melaporkan perkahwinan Irma Hasmie bersama Redza Syah Azmeer sudah berakhir.
Perkara itu disahkan rakan baik Irma iaitu Reen Emran menerusi Instagram Stories pada tanggal 30 April lalu.
Kemudian, lebih mengukuhkan lagi perkara berkenaan apabila bekas suaminya, mengesahkan telah menjalani proses perceraian pada tahun lalu.











