Ibu pilu terima diploma arwah anak

Ibu pilu terima diploma arwah anak

ROSAINI bersama anak dan suaminya selepas menerima skrol diploma arwah pada konvokesyen itu di PSA Shah Alam hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Air mata seorang ibu berlinangan selepas menerima diploma arwah anak lelakinya pada Konvokesyen Politeknik Banting Selangor (PBS) ke-13 hari ini.

Rosiani Moksinon, 45, hadir di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) di sini, bagi pihak Allahyarham Muhammad Fakhrul Ar Razzi Nor Azmi, 21, yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Banting pada 16 November tahun lalu.

Anak kedua daripada empat beradik itu menerima Diploma Kejuruteraan Mekanikal daripada Ketua Operasi Malaysia Airlines Berhad Engineering Services (MABES), Eke Nazri Rahim.

Menurut Rosiani, arwah tidak menunjukkan  perubahan ketara kecuali sempat membersihkan biliknya dengan kemas pada pagi kejadian di Kampung Sungai Kelambu, Banting itu.

“Beliau merupakan anak yang taat, rajin solat dan suka membantu keluarga serta penduduk kampung tanpa meminta balasan. 

“Pemergian arwah masih amat dirasai sehingga saya terpaksa meminta abangnya (Muhammad Nur Khairi, 22) naik ke pentas untuk mengambil skrol,” katanya sebak ketika ditemani suaminya, Azmi Tushan, 49.

Seramai 337 graduan menerima diploma masing-masing iaitu 82 orang dalam Penyenggaraan Pesawat, Kejuruteraan Mekanikal (194) dan Kejuruteraan Mekanikal (Pembuatan) (61).

Tambah Rosaini, Muhammad Fakhrul merupakan bekas pelajar Sekolah Maahad Ihya’ Al-Ahmad dan pemergian arwah turut dirasai penduduk Kampung Sungai Kelambu.

Sementara itu, Pengarah PBS, Ibrahim Burhan berkata, kebolehpasaran graduan politeknik berkenaan mencecah 96 peratus pada tahun lalu.

“Keadaan itu membuktikan bahawa graduan kita kekal mendapat permintaan tinggi di pasaran industri tempatan.

“Selain itu, konvokesyen kali ini menampilkan kelainan kerana julung kali Anugerah Pengarah diberikan kepada dua pelajar berbanding hanya seorang sebelum ini,” katanya.  

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya menzahirkan takziah kepada keluarga dua pelajar PBS yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Cheras semalam.

“Ketika kejadian, mendiang R. Panthalaraasan dan S. Dinesh Raj berusia 22 tahun dalam perjalanan ke PBS untuk menghadiri taklimat graduan dan raptai konvokesyen. 

“Kami amat berdukacita dengan kejadian itu dan skrol diploma mereka diterima ahli keluarga masing-masing,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN