MACHAP: Masalah saraf yang dialami sejak menjalani pembedahan pada 2020 tidak menghalang bekas pekerja Felda untuk hadir seawal pukul 6 pagi, bagi menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, hari ini.
Khairul Azmi Rozali, 64, berkata, walaupun sukar untuk dirinya berdiri lama sehingga terpaksa menggunakan kerusi roda, beliau tetap bersemangat menunaikan tanggungjawab mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tuan Poon, hari ini.
Katanya, dia sanggup hadir awal di pusat mengundi bagi memastikan urusan membuang undi dapat diselesaikan secepat mungkin.
“Saya tidak kisah menunggu lama kerana mahu menjadi antara pengundi terawal, saya rela keluar mengundi terlebih dahulu sebelum menikmati sarapan pagi.
“Saya datang seorang sahaja kerana isteri mengundi di Kluang, tetapi itu bukan alasan untuk saya mengabaikan tanggungjawab sebagai pengundi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Khairul Azmi berkata, selepas menjalani pembedahan, doktor memaklumkan masalah saraf menyebabkan beliau tidak mampu berdiri terlalu lama kerana mudah hilang keseimbangan dan terjatuh.
Katanya, kaki kirinya sering berasa sakit manakala tapak kaki hingga ke betis mengalami rasa panas, sekali gus menyukarkan pergerakan hariannya.
“Saya tetap datang mengundi. Ini tugas kita sebagai rakyat dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan untuk memilih pemimpin yang benar-benar memperjuangkan rakyat,” katanya. – UTUSAN







