PUTRAJAYA: Kerjasama strategik antara syarikat bioteknologi Switzerland, Mibelle Biochemistry dan NovaBio CellTech Sdn. Bhd. dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan produk kesihatan berasaskan teknologi sel stem tumbuhan di Malaysia, sekali gus memperluaskan amalan penjagaan kesihatan secara pencegahan serta konsep regenerative longevity atau kelanjutan usia yang sihat.
Pengasas Mibelle Biochemistry, Dr. Fred Zulli berkata, syarikatnya menjadi perintis dalam pembangunan teknologi sel stem tumbuhan apabila berjaya menghasilkan bahan aktif berasaskan sel stem epal pada 2008 selepas menjalankan penyelidikan selama empat hingga lima tahun.
Menurut beliau, inovasi tersebut kini digunakan secara meluas dalam penghasilan produk kosmetik dan nutraseutikal di seluruh dunia.
“Kami ialah syarikat pertama di dunia yang memperkenalkan teknologi sel stem tumbuhan. Produk paling terkenal ialah sel stem epal yang dihasilkan daripada baka epal lama di Switzerland dan hanya sebiji epal diperlukan untuk menghasilkan biojisim yang boleh digunakan selama bertahun-tahun,” katanya.
Turut hadir Pengasas NovaBio CellTech, Puan Sri Ella Tan, Ketua Penyelidik Universiti Malaya (UM), Dr. Gokula Mohan serta pelakon yang juga duta produk, Azar Azmi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran rangkaian produk GenEla dan NuEla di sini, semalam.
Zulli berkata, bahan aktif berkenaan dihasilkan secara mampan menerusi penggunaan teknologi bioreaktor sebelum diproses menjadi ramuan utama dalam produk kesihatan dan kosmetik.
Menurutnya, hasil penyelidikan saintifik menunjukkan nutrien daripada sel stem tumbuhan mampu membantu mengaktifkan sel stem manusia selain melindunginya apabila fungsi sel mula merosot akibat proses penuaan.
“Kajian kami menunjukkan nutrien daripada sel stem tumbuhan mampu merangsang aktiviti sel stem manusia supaya menjadi lebih aktif serta membantu melindunginya apabila fungsi sel semakin merosot disebabkan proses penuaan.
“Produk ini bukan ubat atau terapi suntikan, sebaliknya suplemen makanan dan produk kosmetik yang digunakan secara oral atau sapuan, sekali gus sesuai diamalkan setiap hari,” katanya.
Mengulas kerjasama dengan NovaBio CellTech, Zulli berkata, syarikat tempatan itu sudah lama menggunakan bahan aktif premium keluaran Mibelle Biochemistry dalam pembangunan formulasi produknya.
“Kami membekalkan bahan mentah berkualiti tinggi dari Switzerland, manakala NovaBio CellTech membangunkan produk akhir. Ia merupakan kolaborasi saintifik antara Switzerland dan Malaysia yang telah berlangsung selama beberapa tahun,” katanya.
Sementara itu, Dr. Mohan berkata, pelancaran produk di bawah jenama GenEla dan NuEla menggambarkan perubahan pendekatan masyarakat daripada rawatan selepas jatuh sakit kepada usaha menjaga kesihatan lebih awal demi kesejahteraan jangka panjang.
“Kini kita memasuki era baharu apabila masyarakat tidak lagi hanya bergantung kepada ubat selepas sakit, sebaliknya mula memberi perhatian kepada penjagaan kesihatan sebelum penyakit berlaku. Itulah konsep regenerative longevity yang semakin berkembang di Eropah, Jepun dan Korea,” katanya.
Menurut beliau, kesemua formulasi produk dibangunkan menggunakan bahan aktif premium dari Switzerland yang disokong penyelidikan saintifik serta ujian klinikal.
Katanya, keberkesanan sesuatu formulasi bukan hanya bergantung kepada pemilihan bahan aktif, malah turut ditentukan oleh penggunaan dos yang menepati bukti klinikal.
“Kami bekerjasama rapat dengan Dr. Fred Zulli bagi memastikan setiap bahan digunakan mengikut dos yang dibuktikan berkesan menerusi kajian klinikal. Jika kajian menetapkan dua miligram sebagai dos berkesan, maka itulah dos yang kami gunakan,” katanya.
Dr. Mohan berkata, NovaBio turut memilih pendekatan berbeza apabila memasarkan produknya melalui klinik pengamal perubatan, klinik estetik dan klinik perubatan fungsian bagi memastikan pengguna memperoleh nasihat profesional sebelum menggunakannya.
“Kami mahu doktor menjadi barisan hadapan dalam memberi penerangan kepada pengguna supaya dakwaan berlebihan yang sering dikaitkan dengan produk suplemen dapat dielakkan,” katanya.
Beliau berkata, produk berkenaan bukan sekadar membantu pengguna kelihatan lebih muda, malah menyokong kesihatan sel, meningkatkan metabolisme dan memperbaiki kecergasan tubuh secara menyeluruh menerusi pemakanan sel yang lebih berkualiti.
“Keremajaan bermula dari dalam badan. Apabila sel menjadi lebih sihat dan aktif, kesannya bukan sahaja dapat dirasai melalui peningkatan tenaga, malah turut dapat dilihat pada kulit selepas diamalkan secara berterusan,” katanya. – UTUSAN








