Harrison umum tanding Ketua Bersatu Kuala Selangor - Utusan Malaysia

Harrison umum tanding Ketua Bersatu Kuala Selangor

Bersatu Kuala Selangor
HARRISON Hassan bergambar dihadapan Bilik Gerakan DUN Jeram dekat Sungai Sembilang, di Kuala Selangor, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Datuk Harrison Hassan mengumumkan bakal bertanding jawatan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kuala Selangor pada Oktober depan.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas menerima pandangan semua pihak terutama jawatankuasa parti bahagian berkenaan.

Menurutnya, fokus utamanya mahu membantu Bersatu memperkemaskan cawangan di peringkat akar umbi dan hala tuju parti di daerah ini.

“Sejak menjadi ADUN setahun lalu, saya telah bersama jawatankuasa Bersatu turun mendekat masyarakat dan meneruskan perjuangan parti.

“Jika diizinkan Allah, saya akan menyerahkan borang pencalonan itu kepada pihak bahagian Kuala Selangor bulan depan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Bilik Gerakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram di Sungai Sembilang, hari ini.

Tambahnya, beliau menyasarkan untuk membuka sekurang-kurangnya 30 cawangan Bersatu bahagian itu jika diberi mandat kelak.

“Pada masa ini, kita hanya mempunyai 17 cawangan dan jumlahnya masih dianggap kecil.

“Menerusi penambahan cawangan, ia akan memperkukuhkan lagi parti dan keyakinan rakyat Kuala Selangor kepada Bersatu yang penubuhannnya belum sampai 10 tahun,” ujarnya.

Malah, Harrison memberitahu beliau tidak menolak dalam sebarang pertandingan jika mendapat tentangan daripada calon-calon lain dan menganggap perkara itu sebagai proses demokrasi.

“Perkara itu tidak dapat disahkan dan saya belum nampak calon lain menawarkan diri. Namun, ia tidak mustahil jika ada saingan pada saat akhir. Pemangku Ketua Bersatu Bahagian, Muhammad Zulfadhli Hamzah juga sedia mengundur diri dan saya akan mengambil beliau untuk bersama membantu pasukan baharu kelak,” jelasnya.

Muhammad Zulfadhli memangku jawatan itu selepas Ketua Bahagiannya, Mohd. Shaid Rosli mengumumkan keluar parti pada 8 Ogos 2020.

Dalam pada itu, Harrison menambah, objektif penubuhan Bilik Gerakan DUN Jeram bertujuan memudahkan lebih 10,000 penduduk setempat mengemukakan aduan dan urusan tertentu kepada pihaknya.

“Kita memang mempunyai pusat khidmat utama DUN di Puncak Alam namun ia mungkin agak jauh kepada penduduk di sekitar Jeram ini.

“Justeru, saya menggunakan inisiatif sendiri membuka bilik gerakan baharu ini yang dapat menjimatkan masa perjalanan sehingga 30 minit,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×