Guna botol ketahui tempoh hanyut dari lubang jerlus  ke loji IWK Pantai Dalam 

Guna botol ketahui tempoh hanyut dari lubang jerlus  ke loji IWK Pantai Dalam 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelbagai usaha dilakukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah jerlus di Masjid India, di sini termasuk menggunakan botol untuk mengetahui tempoh sesuatu objek boleh sampai ke lokasi akhir iaitu loji Indah Water Konsortium (IWK) Pantai Dalam.

Tindakan ini diambil selepas  pelbagai kaedah termasuk teknik ‘flushing’, ‘jetter’ dan alat pengesan bawah tanah atau Radar Pengesan Bawah Tanah (GPR) belum menemukan mangsa.

Selain menggunakan kaedah botol, pasukan penyelamat juga sedang memikirkan kaedah lain untuk menemukan mangsa.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, operasi SAR masih diteruskan i dan pasukan penyelamat masih berbincang untuk mengetahui  usaha-usaha lain yang bakal dilakukan.

Kata beliau, perkara ini adalah membabitkan isu teknikal dan beliau yakin pasukan  SAR mempunyai kepakaran dalam perancangan selanjutnya.

“Antara usaha terkini  adalah meletakkan botol dalam lurang kumbahan di lokasi kejadian untuk meneliti berapa lamakah tempoh masa diambil untuk botol berkenaan sampai ke sana. 

“Berdasarkan ujian itu, lebih kurang 4 jam botol berkenaan sampai di loji Indah Water Konsortium (IWK) di Pantai Dalam, yang dianggarkan sejauh 5.3 kilometer (km) sehingga 6 km.” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, berdasarkan maklumat, wanita warga India itu berkemungkinan terjatuh dalam kedalaman 10 meter.

“Macam-macam kita (pasukan SAR) lakukan dalam lurang kumbahan termasuk menggunakan teknologi kamera.

“Pada hari ini juga, Agensi Nuklear Malaysia dan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) untuk melakukan imbasan di lokasi,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pencarian pada hari kelima ini melibatkan 100 keanggotaan dari pelbagai agensi pihak berkuasa.

Razarudin juga memaklumkan orang ramai tidak perlu khuatir dengan keadaan keselamatan di kawasan Masjid India. 

“Pasukan SAR termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)  selamat dan tidak seperti ditularkan dalam media sosial,” katanya.

Pada Jumaat lalu, seorang wanita  Vijayalechumi, 48, berasal dari Andhra Pradesh, terjatuh ke dalam lubang tanah jerlus sedalam lapan meter ketika berjalan kaki dari arah Flat Selangor Mansion menuju ke Wisma Yakin, Masjid India.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN