KUALA LUMPUR: Polis mempertingkatkan keselamatan dan menggiatkan operasi di seluruh ibu negara ekoran dua kes tembakan yang berlaku dalam tempoh empat hari, baru-baru ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, perkara itu bagi memastikan sekitar pusat bandar terjamin selamat.
Namun beliau memberi jaminan bahawa tahap keselamatan ibu negara masih terkawal.
“Seperti kenyataan Ketua Polis Kuala Lumpur (Datuk Rusdi Mohd Isa) sebelum ini, kedua-dua kejadian terbabit dipercayai berlaku disebabkan perseteruan, bukan tembakan rambang.
“Jadi orang ramai tidak perlu bimbang kerana tahap keselamatan di sekitar ibu negara masih terkawal,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Razarudin berkata, polis melalui Kontinjen Kuala Lumpur melalui pelbagai elemen mempertingkatkan kawalan dan menggiatkan operasi bagi memastikan sekitar ibu negara terjamin selamat.
“Kuala Lumpur masih selamat dan justeru itu, polis akan memastikan keselamatan masyarakat terjamin.
“Tidak perlu bimbang dan orang ramai yang mempunyai maklumat juga diminta tampil membantu polis,” katanya.
Media semalam melaporkan dua kejadian tembak yang berlaku dalam tempoh empat hari di sekitar ibu negara dipercayai akibat perseteruan antara suspek dan mangsa.
Rusdi dilaporkan berkata, kedua-dua kes-kes jenayah tembak yang berlaku adalah akibat masalah yang berlaku di luar kontinjen Kuala Lumpur dan dibawa ke sini.
Katanya, berdasarkan siasatan awal polis, kejadian tembak membabitkan dua lelaki di hadapan sebuah kompleks beli-belah di Jalan Loke Yew, Cheras di sini kelmarin, dipercayai akibat aktiviti penyeludupan di Sibu, Sarawak.
“Bagi kejadian tembak yang berlaku di Brickfields dekat sini Jumaat lalu pula dipercayai akibat daripada konflik aktiviti jenayah yang berlaku di Selangor,” katanya. – UTUSAN










