Gigih ke hutan walau sakit buah pinggang

Gigih ke hutan walau sakit buah pinggang

KEMAL Jani membantu Timah Upih, emproses daun mengkuang hutan untuk dijadikan kraftangan di rumah mereka di Kampung Sungai Berua, Hulu Terengganu, semalam. - UTUSAN/NOOR HAYATI MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Seorang penduduk Orang Asli di Kampung Sungai Berua, dekat sini tetap ke hutan mencari daun mengkuang untuk dijadikan produk kraftangan walaupun menghidap sakit buah pinggang.

Kemal Jani, 56, berkata, dia disahkan mengalami masalah buah pinggang sejak empat tahun lalu dan kini menjalani sesi hemodialisis di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

Katanya, dia perlu menggagahkan diri masuk ke hutan bersendirian untuk mendapatkan bekalan daun mengkuang bagi membolehkan isterinya, Timah Upih, 56, menyiapkan tempahan kraftangan.

“Biasanya saya ke hutan se­belah pagi, pulang ke rumah lewat petang. Saya perlu menyelusuri denai, kawasan berbukit serta sungai dan daun mengkuang diperoleh diikat sebelum dipikul bawa pulang.

“Mengkuang hutan kini sukar dijumpai, nasib tidak baik balik tangan kosong sahaja. Masalah kesihatan dialami pula menyebabkan cepat penat dan kaki membengkak sekiranya terlalu banyak berjalan,” kata­nya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Berua semalam.

Sementara itu, Timah berkata, walaupun risau dengan keadaan suaminya setiap kali ke hutan berseorangan, dia hanya mampu berserah kerana itu sahaja sumber pendapatan mereka sekeluarga.

“Saya hanya proses daun mengkuang hutan dibawa balik suami dan anyam ikut permintaan pelanggan.

“Antara barangan dihasilkan ialah selempang, beg, tikar dan talik (seperti tengkolok) yang sering diguna dalam program membabitkan masyarakat Orang Asli.

“Produk berasaskan daun mengkuang yang dihasilkan ini dijual bermula harga RM30 hingga lebih RM200 bergantung kepada jenis serta saiz. Saya juga turut hasilkan produk menggunakan rotan jika ada permintaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN