PETALING JAYA: Polis sedang mengesan seorang pemain bola sepak dipercayai membawa senjata tajam dalam kes pergaduhan yang berlaku di padang KLFA, Desa Melati, dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada seorang lelaki warga tempatan berusia 23 tahun pada pukul 2.21 pagi tadi.
“Ketika kejadian pengadu menyatakan berlaku perselisihan faham antara pasukan pengadu dan pasukan lawan.
“Dia mendapati pemain dari pihak lawan telah membawa masuk senjata tajam ke padang serta mengacukannya kepada salah seorang pemain pasukan pengadu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, usaha mengesan suspek sedang dilakukan bagi siasatan lanjut.
“Tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden itu, pengecaman suspek sedang dibuat. Kes disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya. – UTUSAN










