MANILA :Kes pertama jangkitan virus mpox yang dilaporkan di Filipina tahun ini merupakan varian ringan dan bukan varian maut yang mencetuskan kebimbangan global, demikian menurut Setiausaha Kesihatan Filipina, Teodoro Herbosa pada Rabu.
Varian Clade 1b yang sangat mudah merebak telah menyebabkan ratusan kematian di Republik Demokratik Congo dan turut dikesan di tempat lain di benua Afrika seperti Burundi, Kenya, Rwanda, Uganda, dan luar afrika seperti Sweden.
“Ia adalah varian lama,” kata Herbosa merujuk kepada virus yang menjangkiti seorang lelaki Filipina berusia 33 tahun, yang dikenal pasti sebagai varian Clade 2 yang lebih ringan dan tidak merbahaya.
“Ia tidak bahaya seperti Clade 1b,” katanya lagi.
Beliau juga turut memaklumkan bahawa pesakit tersebut tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dan masih memerlukan rawatan rapi di hospital.
“Bagi kami para doktor, ini bermakna virus itu kini sedang beredar dalam komuniti,” jelas Herbosa.
Sebelum ini, pihak berkuasa Filipina melaporkan terdapat sembilan kes mpox pada 2022 dan 2023, dengan kes terbaru dilaporkan sebelum ini pada Disember lalu.
Presiden Ferdinand Marcos pada Selasa telah mengarahkan pegawai kesihatan untuk terus memantau kawasan dan individu yang berisiko terhadap virus tersebut. -AGENSI










