Enam lelaki ditahan ketika leka curi kabel TM

Enam lelaki ditahan ketika leka curi kabel TM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMPANG: Polis menahan enam lelaki yang menyamar sebagai kontraktor Telekom Malaysia (TM) untuk mencuri kabel syarikat itu di Jalan Besar Enggang AU2 di sini, pada Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 pagi itu, sepasukan polis dari Balai Polis Hulu Kelang telah terserempak lima lelaki melakukan kerja penyelenggaraan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, dalam pada masa sama, seorang lelaki lagi berada dalam lubang sedang memotong kabel.

“Pemeriksaan lanjut mendapati mereka telah memotong kabel dan dalam proses menarik keluar kabel tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Azam berkata, salah seorang suspek telah memperkenalkan diri sebagai penyelia dan menunjukkan surat penyelenggaran TM dalam telefon. 

“Pengesahan telah dibuat dengan pihak TM, wakil syarikat itu telah dipanggil untuk hadir ke tempat kejadian dan mendapati surat tersebut adalah palsu,” jelasnya.

Beliau berkata, semua lelaki warga tempatan yang ditahan berusia linkungan 20 hingga 32 tahun.

“Siasatan awal mendapat suspek terbabit menyamar sebagai kontraktor TM yang sedang menyelenggara projek bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Kita telah merampas sebuah van Nissan Vannette, kenderaan pacuan empat roda Mitubishi Triton, beberapa papan tanda jalan, kon, kemeja TM, mesin pemotong rantai dan besi serta pelbagai barangan lain,” jelasnya.

Menurutnya, hasil semakan mendapati dua lelaki yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau yang tidak dikehendaki. 

“Ujian air kencing yang dijalankan ke atas kesemua suspek didapati negatif dadah. Kesemua suspek direman empat hari bermula Sabtu sehingga Selasa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 431A Kanun keseksaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN