SHAH ALAM: Polis menahan empat lelaki warga tempatan dipercayai terlibat dalam kejadian samun dekat kawasan stesen minyak di Lebuhraya Shah Alam (Kesas), awal pagi semalam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kesemua suspek berusia 30 hingga 41 tahun itu ditahan kira-kira pukul 5.30 petang hasil susulan maklumat siasatan diperolehi.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Khas D9, Ibu pejabat Polis Daerah Subang Jaya berjaya menahan empat lelaki di sekitar Klang dan Shah Alam.
“Keempat-empat orang suspek dikenalpasti mempunyai rekod jenayah lampau dalam kes jenayah termasuk narkotik,” katanya kepada pemberita, malam tadi.
Tambahnya, polis turut merampas sebuah kereta jenis Nissan Almera dan sebuah motosikal Yamaha LC135 serta enam telefon bimbit. Suspek turut dibawa ke Mahkamah Shah Alam hari ini untuk permohonan reman.
“Polis mempercayai kesemua suspek adalah individu terlibat sebagaimana laporan polis dibuat oleh pengadu.
Terdahulu, tular kejadian samun dekat hadapan sebuah stesen minyak di lebuh raya berkenaan yang didakwa berlaku pada awal pagi.
Susulan kejadian, Hussein memberitahu polis menerima laporan pada pukul 1.37 pagi daripada pengadu mengenai kejadian samun oleh empat lelaki bersenjatakan kayu.
Dalam kejadian tersebut, suspek dikatakan menunggang motosikal dan bertindak berhenti di hadapan kenderaan pengadu sebelum menghayunkan kayu ke arah cermin keretanya sehingga pecah.
Berikutan laporan tersebut, polis membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 393 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang mana sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan denda.
Dalam pada itu, Hussein turut menyampaikan penghargaan kepada orang awam yang menyalurkan maklumat sehingga kesemua suspek berjaya ditumpaskan.
“Polis mengalu-alukan orang ramai menyalurkan maklumat kes jenayah kepada polis dalam usaha membanteras aktiviti tersebut,” ujarnya. – UTUSAN










