KUALA LUMPUR: Kerajaan memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi semalam yang memerintahkan untuk menyerahkan tanah seluas 106.542 hektar di Jalan Duta (kini dikenali sebagai Jalan Tuanku Abdul Halim) kepada Semantan Estate (1952) Sdn. Bhd.
Tanah yang dikenali sebagai `Duta Enclave’ itu meliputi sebahagian Masjid Wilayah Persekutuan, Kompleks Kerajaan Jalan Duta yang turut menempatkan Lembaga Hasil Dalam Negeri, Stadium Hoki Jalan Duta dan Institut Integriti Malaysia.
Notis rayuan tersebut difailkan oleh Pendaftar Hak Milik (Wilayah Persekutuan) bagi pihak kerajaan lewat petang ini secara dalam talian. Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan mengesahkan perkara itu ketika dihubungi media.
Beliau turut memberitahu sesalinan notis rayuan telah diserahkan kepada peguam yang mewakili Semantan Estate melalui emel.
Semalam Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh memerintahkan Kerajaan untuk menyerahkan tanah seluas 106.542 hektar dikenali sebagai `Duta Enclave’ tanpa sebarang halangan atau liabiliti dan mendaftarkan Semantan sebagai tuan punya tanah terbabit.
Pertikaian mengenai tanah tersebut bermula sejak 1960 apabila Kerajaan membayar RM1.32 juta bagi pengambilalihan tanah tersebut mengikut Enakmen Pengambilalihan Tanah bagi tujuan pembangunan bagi penempatan diplomat dan duta.
Bagaimanapun, pertikaian tersebut berlanjutan melebihi 50 tahun atas pelbagai alasan termasuk isu di kalangan ahli keluarga yang menubuhkan Semantan Estate serta kesilapan dan kelewatan berhubung kutipan hasil tanah.
Pada 1989, Semantan Estate dilaporkan telah menyaman kerajaan kerana menceroboh tanah yang didakwa diambil dengan cara yang salah.
Pada mulanya, Kerajaan berjaya mengetepikan saman tersebut namun rayuan telah difailkan sebelum Mahkamah Agung (Supreme Court) membuat keputusan yang berpihak kepada Semantan Estate dan mengembalikan semula kes itu ke Mahkamah untuk dibicarakan.
Sekitar 2009, Pesuruhjaya Kehakiman, Zura Yahya (ketika itu) memutuskan bahawa Semantan kekal mempunyai kepentingan terhadap tanah tersebut yang didakwa telah diambil alih oleh kerajaan dengan cara yang salah dan menceroboh tanah berkenaan.
Kerajaan merayu terhadap keputusan tersebut namun ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 18 Mei 2012. Pada 21 November 2012, Mahkamah Persekutuan mengekal keputusan mahkamah terdahulu yang memutuskan kerajaan menceroboh tanah tersebut apabila mengambil alih tanah tersebut melalui Enakmen Pengambilan Tanah.
Keputusan Mahkamah Tinggi semalam (7 Ogos) bagaimanapun tidak membabitkan hasil perantaraan (mesne profit) yang dituntut oleh Semantan daripada kerajaan.
Hasil perantaraan ialah sewa atau keuntungan yang diperoleh oleh penceroboh sewaktu menduduki sesuatu premis atau tanah yang mana perlu dibayar kepada tuan punya sebagai ganti rugi atas tindakan yang telah dilakukan.
Semantan Estate menganggarkan hasil perantaraan yang wajar diterima bagi tempoh 1957 hingga 2021 adalah di antara RM3.1 bilion dan RM13.242 bilion beserta faedah.
Bagaimanapun, kerajaan melalui penilaian yang dibuat oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta mempertikaikan jumlah tersebut dan menyatakan Semantan Estate hanya layak menerima ganti rugi sebanyak RM290 juta.
Isu mengenai hasil perantaraan itu masih belum diputuskan. – UTUSAN










