PETALING JAYA: Dua lagi suspek termasuk seorang anggota polis didakwa terlibat kes samun di sebuah rumah di Kampung Pasir di sini, kelmarin direman selama tujuh hari bermula hari ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, tangkapan terbaharu melibatkan suspek awam yang menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang hari ini.
“Kedua-dua suspek termasuk seorang penjawat awam direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 8 Ogos depan.
“Setakat ini, tangkapan melibatkan tiga anggota dan seorang awam bagi membantu siasatan kes tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Media semalam melaporkan, tiga anggota polis ditahan selepas dipercayai terbabit dengan kes samun di sebuah rumah di Kampung Pasir, Semenyih dekat sini.
Difahamkan dalam kejadian itu, suspek yang melakukan samun berkenaan turut melepaskan beberapa das tembakan sebelum melarikan sejumlah wang tunai serta barang kemas.
Hussein dilaporkan berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pukul 12.17 tengah malam.
Beliau dilaporkan berkata, pihaknya menahan dua lelaki berusia 32 dan 35 tahun di Batalion 19, Pasukan Gerakan Am Cheras, Selangor pada pukul 12.20 tengah malam.
“Seorang lagi suspek berusia 24 tahun pula ditahan selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang kira-kira pukul 1 petang.
“Satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 3 Akta Senjatapi 1971 (Penalti Lebih Berat) berhubung kes ini,” katanya.
Susulan itu, dua anggota polis direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 7 Ogos depan,” katanya.- UTUSAN










