KUALA KANGSAR: Dua maut apabila kereta dinaiki mereka terlibat kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Kuala Kangsar-Manong di sini hari ini.
Mangsa yang maut melibatkan seorang wanita dan seorang kanak-kanak perempuan manakala seorang lagi kanak-kanak perempuan mengalami kecederaan ringan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan itu pada pukul 7.36 pagi.
Menurutnya, kemalangan melibatkan dua buah kenderaan iaitu sebuah kereta jenis Honda City yang berlanggar dengan sebuah kenderaan jenis MPV Toyota Vellfire.
Katanya, kemalangan mengakibatkan tiga mangsa yang menaiki kereta Honda City, iaitu seorang wanita dewasa yang memandu kereta dan seorang kanak-kanak perempuan tersepit di tempat duduk penumpang bahagian hadapan.
“Kedua-dua mangsa tersebut disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) manakala seorang lagi kanak-kanak perempuan yang duduk di bahagian tempat duduk belakang kereta mengalami cedera ringan.
“Pemandu Toyota Vellfire tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamatan Kuala Kangsar menjalankan kerja-kerja penyelamatan menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dan operasi ditamatkan pada pukul 9.10 pagi.
Katanya, mangsa yang cedera diserahkan pada pihak KKM untuk menerima rawatan manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. – UTUSAN










