KUALA TERENGGANU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu menahan dua buah lori tangki yang membawa muatan minyak diesel tanpa permit di kawasan perindustrian Chukai, Kemaman, semalam.
Pengarahnya, Saharuddin Mohd. Kia berkata, lori tangki terbabit ditahan dalam serbuan Ops Tiris 3.0 yang disertai lima anggota dan pegawai penguat kuasa KPDN Terengganu di kawasan perindustrian tersebut kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati
minyak diesel yang diambil dari depo di Kerteh, Kemaman telah dihantar oleh sebuah lori tangki ke sebuah syarikat yang mempunyai permit barang kawalan, namun begitu minyak tersebut tidak dipindahkan sepenuhnya.
Sebaliknya katanya, baki minyak diesel tersebut kemudiannya dipindahkan ke sebuah lori tangki yang lain untuk dijual semula kepada pembeli di pasaran gelap .
“Pemeriksaan lanjut yang dijalankan mendapati kesemua lori tersebut tidak memiliki sebarang permit atau surat kebenaran daripada pengawal bekalan untuk berurusan dengan barang kawalan iaitu minyak diesel,” katanya ketika ditemui di Kawasan Perindustrian Chendering, di sini, hari ini.
Saharuddin memberitahu, semasa serbuan mendapati proses pemindahan minyak
diesel dari sebuah lori tangki ke sebuah lori tangki yang lain sedang dilakukan dengan menggunakan paip saluran getah.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM286,781.30 dan dua orang lelaki warga tempatan berumur lingkungan 30-an telah ditahan bagi membantu
siasatan.
“Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini sedang dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961” ujarnya.
Saharuddin berkata, KPDN juga sentiasa menggerakkan anggota penguat kuasa di lapangan dan mempertingkatkan aktiviti
penguatkuasaan serta pemantauan bagi memastikan aktiviti haram ini dapat dibendung daripada terus berleluasa. – UTUSAN










