Dua lelaki ditahan bersama lebih 20 kilo ganja

Dua lelaki ditahan bersama lebih 20 kilo ganja

HAMZAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Dua lelaki tempatan ditahan kerana dipercayai terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah jenis ganja dalam satu serbuan yang dijalankan di sekitar Seberang Jaya, Isnin dan Selasa lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, hasil penahanan suspek yang masing-masing berusia 22 dan 33 tahun itu, polis kemudian menjumpai dan merampas 20 ketulan mampat daun kering disyaki ganja yang dibungkus dalam plastik lutsinar.

Katanya, ganja seberat 20,431 gram bernilai RM74,930 itu ditemukan tersorok di bahagian belakang sebuah kereta di situ.

“Hasil risikan mendapati, aktiviti pengedaran dadah oleh sindiket ini telah bergiat aktif sejak Oktober 2023 lagi untuk pasaran sekitar Pulau Pinang, Kedah dan Kuala Lumpur.

“Untuk pengetahuan juga, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ini boleh digunakan oleh seramai 50,000 orang atau 50,000 kali penggunaan,” katanya di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Hamzah memaklumkan, hasil ujian saringan air kencing mendapati, kedua-dua suspek positif dadah jenis methampethamine.

Katanya, salah seorang suspek juga mempunyai rekod jenayah lampau termasuk berkaitan dadah dan kedua-dua mereka kini direman selama tujuh hari bermula kelmarin hingga 26 Ogos ini bagi membantu siasatan.

“Tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) (Pelucuthakan Harta 1988) apabila Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) berjaya menyita sebuah motosikal jenis Yamaha 125Z bernilai RM4,500 sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dan sitaan bernilai RM79,430,” ujar beliau.

Tambah Hamzah, kes disiasat di bawah Seksyen 39B ADB 1952 yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum mati atau dipenjara seumur hidup dan dikenakan tidak kurang daripada 12 sebatan rotan.

“Dalam hal ini, pihak polis akan terus meningkatkan usaha bagi memerangi kegiatan pengedaran dadah sekali gus memastikan aktiviti ini dibanteras habis-habisan.

“Pada masa yang sama, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan penyalahgunaan dadah atau narkotik boleh menghubungi JSJN di talian ‘hotline’ 012-2087222,” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN