Saya terkejut anak beritahu Abi bunuh Mama - bekas suami

Saya terkejut anak beritahu Abi bunuh Mama – bekas suami

HARDIHA Shayrin Yezral Harun ketika ditemui pemberita di pekarangan Unit Forensik Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Bekas suami kepada mangsa pembunuhan kejam di Seberang Jaya iaitu Wan Khairul Safinah Ishak, 44, memaklumkan bahawa dia terkejut apabila mendapat tahu wanita itu meninggal dunia akibat dibunuh oleh suami baharunya ketika ini.

Hardiha Shayrin Yezral Harun, 46, berkata, dia menerima berita itu daripada anak sulungnya, Ezlyn Ilyana, 26 menerusi satu panggilan telefon.

“Masa itu anak saya (Ezlyn Ilyana) telefon saya dalam keadaan sebak. Semasa sedang bercakap, panggilan terputus. Saya telefon semula tapi tak dapat. Lepas itu dia telefon beritahu ‘Mama’ (nama panggilan untuk arwah) dia sudah meninggal.

“Dia (anak) beritahu, ‘Abi’ (nama panggilan untuk bapa tiri) bunuh Mama. Abi pun dah serah diri kat balai (polis). Itu yang dia beritahu saya,” kata Hardiha Shayrin ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang hari ini.

Jelas lelaki itu lagi, walaupun telah berpisah dengan isterinya kira-kira 13 tahun yang lalu, namun, hubungan mereka masih baik disebabkan anak-anak.

“Selepas bercerai, semua anak saya jaga. Tapi, ‘depa’ (mereka) semua masih baik dengan Mama mereka. Kadang-kadang ada jumpa juga,” katanya yang memberitahu, mereka mempunyai lima anak yang berusia antara 15 hingga 26 tahun hasil perkongsian hidup bersama sebelum ini.

Tambah Hardiha Shayrin, walaupun dia dan bekas isterinya itu masing-masing sudah mempunyai keluarga sendiri selepas bercerai, tetapi, dia tetap bersedih dengan kejadian yang menimpa ibu kepada anak-anaknya itu.

“Saya kasihan kepada anak-anak sayalah. Lihat Mama mereka meninggal seperti ini (dibunuh). Kalau meninggal dunia sebab sakit atau kemalangan sekali pun, masih boleh diterima lagi,” katanya yang turut berharap agar pembunuh terbabit dikenakan hukuman yang setimpal dengan perbuatannya itu.

Dalam kejadian berkenaan, mangsa bukan sahaja dibunuh dengan senjata tajam, malah, mayatnya turut disimpan dalam sebuah bilik selama empat hari oleh suspek yang dipercayai suaminya yang berusia 28 tahun.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×