PETALING JAYA: Kerajaan menjangkakan sistem e-pemfailan mangsa gangguan seksual kepada Tribunal bagi Antigangguan Seksual (TAGS) beroperasi tahun hadapan.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, sistem itu akan memudahkan mangsa gangguan seksual di seluruh negara memfailkan aduan kepada TAGS secara dalam talian.
Jelasnya, ia mengambil kira kekangan geografi di Sabah dan Sarawak.
“Tribunal ini boleh bersidang pada bila-bila masa, hari dan tempat sebagaimana yang ditentukan Presiden tribunal dan kementerian turut melantik ahli tribunal dari Sabah dan Sarawak.
“Jika ada aduan di negeri-negeri di Pantai Timur, Tribunal ini boleh bersidang di sana,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Anna Bell Suzieana Perian berhubung pertimbangan kementerian menubuhkan TAGS di Sabah dan Sarawak bagi memudahkan pendengaran kes-kes di wilayah itu yang berhadapan cabaran geografi.
Sementara itu, menjawab soalan Senator Datuk Dr. Arman Azha Abu Hanifah berkenaan statistik gangguan seksual dan kemerosotan kesihatan mental dalam kalangan masyarakat Malaysia, kata Noraini, sebanyak lima aduan gangguan seksual diterima sejak tribunal diwujudkan pada 8 Mac lalu sehingga Julai 2024.
“Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan kes yang dilaporkan kesalahan di bawah Seksyen 292, 354, 377D, 507A dan 509 Kanun Keseksaan iaitu merujuk kepada kes gangguan seksual adalah 1,483 kes (2021), 1,455 (2022) dan 1,621 (2023),” katanya.










