Datuk 15 cucu kayuh basikal keliling negara

Datuk 15 cucu kayuh basikal keliling negara

CHE Saad Nordin (tengah) memulakan misi Kayuhan Merdeka Jelajah Semenanjung 2024 di Dewan Serbaguna di Kampung Guar Lobak, Padang Serai, Perak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Usia bukan peng­halang buat seorang datuk kepada 15 cucu untuk menye­ma­rakkan bulan kebangsaan me­lalui Kayuhan Merdeka Jelajah Semenanjung bermula 2 Ogos lalu.

Menurut Che Saad Nordin, 74, dia telah melakukan 10 kali kayuhan sama sebelum ini dan akan meneruskan usaha itu bagi menyemai semangat cintakan negara kepada orang muda.

“Ini cara saya untuk melahirkan semangat patriotisme dan cintakan negara yang mana saya turut mengedarkan Jalur Gemilang kepada orang ramai sepanjang melakukan kayuhan sejauh 2,300 kilometer.

“Diharap kayuhan kali ini akan terus menjadi kenangan manis buat diri saya dan orang ramai yang saya jumpa di sepanjang laluan,” katanya yang juga bekas wartawan di sini baru-baru ini.

Katanya, dia menjangka me­nyambut Hari Kemerdekaan di Melaka, sebelum meneruskan kayuhan sehingga ke utara tanah air.

“Saya akan menamatkan misi Kayuhan Merdeka Jelajah Semenanjung tahun ini di Perlis pada 16 September nanti sempena Hari Malaysia,” katanya.

Jelasnya, dia mengamalkan pemakanan sihat bagi memastikan kekal bertenaga, selain se­ring melakukan senaman agar tidak jatuh sakit yang boleh merencatkan misi kayuhan solo kali ini.

“Walaupun berdepan cuaca panas, mendung atau hujan, saya berusaha menamatkan kayuhan seperti dirancang,” ujarnya yang pernah melakukan 23 kayuhan pelbagai misi mengelilingi negara sebelum ini.

Tambahnya, Kayuhan Merdeka Jelajah Semenanjung kali ini mendapat tajaan daripada JS Innovation Confort Resources dan Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Langkasuka (Pewaris) Kubang Pasu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN