PETALING JAYA: Pertuduhan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bukti jelas kegagalan Pakatan Harapan (PH) dan pengkhianatan janji untuk memansuhkan Akta Hasutan.
Pengarah Lawyer for Liberty, Zaid Malek berkata, pertuduhan itu juga disifatkan sebagai satu tindakan diktator di bawah akta yang zalim.
Katanya, ini kerana mempersoalkan atau mengkritik pelaksanaan kuasa Perlembagaan oleh Yang DiPertuan Agong tidak bersifat menghasut.
“Ini kerana Yang Dipertua Agong bukanlah pemerintah feudal dalam negara yang mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan.
“Pertuduhan itu berdasarkan kenyataan pemimpin pembangkang yang mempersoalkan Agong dalam melaksanakan kuasa Perlembagaan berhubung pelantikan Perdana Menteri selepas pilihan raya umum lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Muhyiddin sebelum ini didakwa di Mahkamah Seksyen Gua Musang atas tuduhan mengeluarkan perkataan menghasut semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di sini, pada 14 Ogos lalu.
Mengikut pertuduhan, Muhyiddin didakwa melakukan perbuatan itu di kawasan lapang berhampiran Dewan Semai Bakti Felda Perasu di sini, dan didapati telah menyebut perkataan menghasut antara pukul 10.30 malam hingga 11.50 malam, 14 Ogos lalu.
Sementara itu Zaid berkata, tindakan terhadap Muhyiddin juga menimbulkan persoalan berhubung janji PH yang mahu menghapuskan akta berkenaan sebelum in.
“Lupakah mereka bagaimana mendiang Karpal Singh dicop sebagai ‘derhaka’ kerana mempersoalkan Sultan Perak pada 2008 ?
“Atau bagaimana PH sendiri dituduh tidak setia kepada Agong kerana mempersoalkan keputusan menggesa darurat pada 2021?” ujarnya.
Mengulas lanjut, Zaid berkata, dalam sistem Raja Berperlembagaan, penggunaan kuasa raja boleh dibahaskan, dipersoalkan malah dikritik.
“Ini adalah asas sistem Raja Berperlembagaan kita. Mereka yang selama ini menggesa agar Muhyiddin didakwa mencemarkan struktur asas Perlembagaan kita dengan memasukkan feudalisme ke dalamnya.
“Malangnya, ahli politik PH dan Umno daripada Kerajaan Madani telah berada di barisan hadapan dalam kempen bermotifkan politik ini,” kata.
Zaid dalam masa sama turut menggesa kerajaan, khususnya PH, mengelak daripada menggunakan Akta Hasutan, dan mengambil langkah segera untuk memansuhkannya.- UTUSAN










