BESUT: Seorang suri rumah memperoleh pendapatan sampingan hasil kreativitinya menghias cekak rambut dengan gubahan bunga raya sempena sambutan Bulan Kemerdekaan.
Siti Nur Natrah Yatimi Mohd. Azmi, 35, berkata, dia tidak menyangka hasil tangannya itu menarik minat orang ramai apabila menerima tempahan kira-kira 100 cekak rambut gubahan bunga kebangsaan itu dalam tempoh dua minggu ini.
Katanya, dia memilih menggunakan gubahan bunga raya bagi menyemarakkan semangat kemerdekaan kepada pemakai cekak itu.
“Pada awalnya saya cuba buat cekak rambut ini untuk persediaan anak perempuan mengikuti sambutan Hari Kemerdekaan di sekolah.
“Namun, apabila saya memuat naik gambarnya dalam media sosial, saya mendapat banyak tempahan termasuk luar Terengganu,” katanya ketika ditemui di Kampung Gong Duek, di sini, semalam.
Siti Nur Natrah Yatimi berkata, dia juga menggunakan warna-warna yang terdapat pada Jalur Gemilang seperti biru, kuning, merah, serta putih sebagai warna utama dalam gubahan tersebut.
“Sebagai seorang ibu, saya berasa bangga dapat memupuk semangat kemerdekaan dalam diri anak-anak melalui cara tersendiri,” ujarnya. – UTUSAN










