GEORGE TOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengenakan larangan terhadap kenderaan berat yang memasuki jalan-jalan utama di negeri ini pada waktu puncak bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.
Presidennya, Mohideen Abd. Kader berkata, tinjauan CAP mendapati, pergerakan kenderaan barangan dan pembinaan pada waktu puncak, khususnya pada waktu pagi dan petang, menyumbang dengan ketara kepada kesesakan lalu lintas.
Beliau berkata, setakat ini, antara laluan yang paling sesak adalah di Jalan Masjid Negeri dan Jalan Scotland.
“Jalan-jalan ini adalah antara yang paling sibuk di Pulau Pinang dan kesesakan ini diburukkan lagi dengan terdapatnya beberapa sekolah di sepanjang laluan tersebut.
“Peningkatan semasa kenderaan di bandar raya ini menyebabkan kelewatan yang ketara, dengan beberapa pengguna melaporkan mengambil masa perjalanan lebih sejam untuk sampai ke destinasi mereka,” katanya di sini, hari ini.
Menurut Mohideen, bagi menangani isu ini, CAP mencadangkan agar kenderaan berat dilarang memasuki jalan-jalan utama ke pusat bandar dari pukul 6.30 pagi hingga 9.30 pagi dan dari 4.30 petang hingga 7.30 malam setiap hari.
“Langkah yang sama telah dilaksanakan di Kuala Lumpur sejak 2022 dan JPJ turut menguatkuasakan larangan ke atas kenderaan berat dengan berat muatan melebihi 7,500 kg daripada memasuki pusat bandar pada waktu puncak yang sama.
“Inisiatif ini bertujuan untuk menambah baik aliran lalu lintas dan mengurangkan kesesakan di kawasan bandar,” katanya.-UTUSAN










