Bunuh jururawat, banduan akhir dipenjara 40 tahun

Bunuh jururawat, banduan akhir dipenjara 40 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini mengetepikan hukuman mati terhadap seorang banduan akhir dan menggantikannya dengan penjara maksimum 40 tahun kerana membunuh seorang jururawat sebuah klinik kesihatan, sembilan tahun lalu.

Dalam kes menyayat hati itu, Mohammad Awari Ahmad, 31, mengelar leher isteri rakannya yang juga seorang anggota polis bantuan sehingga darah keluar membuak-buah sambil disaksikan oleh anak pasangan tersebut yang ketika itu berusia lima tahun.

Dia disabitkan membunuh jururawat klinik kesihatan berusia 25 tahun itu pada 1 Mac 2015 di sebuah rumah di Kampung Batu Papan, Gua Musang, Kelantan.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Harmindar Singh Dhaliwal ketika membenarkan permohonan semakan Mohammad Awari, turut memerintahkan lelaki itu dikenakan 12 sebatan.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Hanipah Farikullah sebulat suara mengarahkan hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh tangkap pada 1 Mac 2015.

Panel itu memerintahkan hukuman penjara dilaksanakan secara serentak dengan tempoh pemenjaraan 18 tahun dan sebatan 12 kali yang diputuskan sebelum ini kerana merogol mangsa.

Hakim Harmindar berpuas hati, kes itu agak luar biasa namun koram berkenaan mengambil kira hanya satu rayuan bahawa usianya yang masih muda ketika kejadian berlaku.

Terdahulu, peguam Gurbachan Singh memohon mahkamah membenarkan permohonan semakan Mohammad Awari dengan mengambil kira anak guamnya masih muda dan ketika itu berusia 22 tahun.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Atiqah Abdul Karim@Husaini membantah permohonan semakan atas alasan mangsa bukan sahaja disembelih, malah turut dirogol secara ganas ketika darah keluar membuak-buak daripada lehernya.

Hujah Atiqah, pemohon turut merompak telefon bimbit manakala wang yang dicurinya digunakan untuk membeli arak.

Sebelum kejadian, mangsa tidur bersama-sama tiga anaknya masing berusia lima tahun, tiga tahun dan enam bulan sebelum pemohon memecah masuk rumah dengan membawa sebatang kayu.

Mohamad Awari kemudian menemukan sebilah parang dari dapur dan menyerang wanita itu sehingga mengalami 11 kecederaan tetakan di badannya termasuk dua kelaran di bahagian leher yang membawa maut.

Kejadian itu disedari oleh suami mangsa yang pulang dari kerja dan menemukan isterinya dalam keadaan berlumuran darah, tidak berpakaian dan hanya dilitupi sehelai selimut manakala anak-anaknya sedang berbaring atas tilam yang dicemari darah ibu mereka.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN