BRICS bukan anti-Barat

BRICS bukan anti-Barat

MOHAMAD HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kumpulan organisasi antara kerajaan, Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan (BRICS) yang bakal disertai Malaysia bukan blok bersifat anti-Barat.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, penyertaan Malaysia dalam BRICS adalah selari dengan pendekatan dasar luar negara yang mendukung konsep multilateralisme bagi menangani pelbagai cabaran global yang mendesak.

Selain itu, katanya, banyak negara BRICS tetap mengekalkan hubungan baik dengan negara-negara Barat.

“Oleh itu, penting bagi Malaysia sebagai negara perdagangan menjalin hubungan baik dengan semua negara dalam usaha meneroka peluang perdagangan dan pelaburan baharu.

“Kerajaan melihat penglibatan Malaysia dalam BRICS selari dengan usaha memacu ekonomi negara untuk berkembang dengan lebih pesat, stabil dan berdaya tahan.

“Penyertaan Malaysia dalam BRICS diyakini dapat memberi nilai tambah kepada negara terutama melibatkan isu-isu pembangunan dan ekonomi global serta kepentingan lain bagi negara-negara membangun,” katanya menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.

Dalam pada itu, kata Mohamad, Malaysia sebagai negara berdaulat bebas menyertai apa sahaja organisasi antara kerajaan yang sesuai dan bermanfaat kepada negara.

“Ini terbukti menerusi pembabitan dan peranan aktif yang dimainkan oleh Malaysia dalam pelbagai organisasi antarabangsa di peringkat serantau dan pelbagai hala termasuk ASEAN, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) dan Kumpulan 77 (G-77),” katanya.

Katanya, penyertaan dalam BRICS membolehkan Malaysia memberi sumbangan demi kebaikan masyarakat antarabangsa di samping suara akan lebih didengari di persada dunia.

“Malaysia akan menggandakan usaha bagi meningkatkan kerjasama dalam bidang ekonomi dan bidang-bidang berkepentingan lain termasuk dalam sektor berteknologi tinggi seperti transformasi digital, kecerdasan buatan dan semikonduktor.

“Malaysia yakin penglibatan negara dalam BRICS tidak menjadi halangan kepada jalinan hubungan dan kerjasama yang baik dengan mana-mana negara termasuk negara-negara Barat,” katanya.

Pada 27 Julai lalu, dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-57 di Vientiane, Mohamad berkata, Malaysia perlu menunggu kira-kira setahun lagi sebelum permohonannya diterima, namun Russia dan China mengalu-alukan penyertaan negara ini dalam BRICS.

Pada 9 Julai lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar di Dewan Rakyat menegaskan, permohonan Malaysia menyertai BRICS tidak bertentangan dengan dasar luar negara.

Sebaliknya, katanya, Malaysia mengambil pendekatan menjalin hubungan baik dengan semua pihak lebih-lebih lagi dengan kemunculan kekuatan ekonomi baharu.

Kata Anwar, penyertaan Malaysia dalam BRICS diyakini memberi kekuatan baharu memandangkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara itu mencecah AS$26.6 trilion.

Pada 22 Julai lalu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, rancangan kerajaan tidak akan menyebabkan negara berhadapan dengan ancaman dari negara-negara kuasa besar.

Katanya, Malaysia kekal mengamalkan prinsip keterbukaan dalam aspek ekonomi iaitu bersedia berdagang dengan mana-mana negara kecuali yang bertentangan perundangan antarabangsa.

BRICS ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama untuk ekonomi yang sedang pesat membangun merangkumi Brazil, Russia, India dan China manakala Afrika Selatan kemudian menyertai kumpulan itu pada 2010.

Kumpulan itu dibentuk untuk menyatukan negara-negara membangun yang paling penting di dunia bagi mencabar kuasa politik dan ekonomi negara-negara kaya di Amerika Utara dan Eropah Barat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN