PETALING JAYA: Kegagalan Perikatan Nasional (PN) mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri semalam menandakan penduduk Kelantan mula menerima Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Perundangan dan Parlimen), Datuk Mohd Zaid Ibrahim berkata, kemenangan besar UMNO tidak mempunyai kaitan dengan kebangkitan semula atau kecintaan secara tiba-tiba terhadap Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Sebaliknya, menurut beliau, kemenangan tersebut mempunyai kaitan dengan populariti Anwar selaku Perdana Menteri.
“Sokongan kuat Perdana Menteri terhadap pembangunan Kelantan dan usaha beliau dalam memperjuangkan Palestin telah membuatkan Anwar disayangi oleh kumpulan orang Melayu di sana.
“Jika pemimpin itu murah hati dengan pembangunan, pemberian dan sentiasa mengingatkan orang Melayu tentang perjuangan Islam dalam apa cara sekalipun, pemimpin berkenaan akan diterima. Tidak kira isu lain seperti reformasi atau perubahan mahupun janji dalam manifesto,” kata beliau di X (dahulu Twitter), hari ini.
Pada mulanya, Mohd. Zaid berkata, beliau meramalkan PN akan menang tipis di PRK Nenggiri namun apa yang berlaku UMNO memperoleh kemenangan besar dengan majoriti lebih 3,000 undi.
Kata beliau, kemenangan tersebut bukan sahaja mengejutkan tetapi turut menandakan Anwar kini menjadi pemimpin pilihan dan bukannya Tan Sri Abdul Hadi Awang mahupun Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Bagaimana dengan perikatan Pas-Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sekarang? Mereka akan menjadi semakin lemah dari hari ke hari. Tanpa kuasa dan wang, politik apa yang boleh dikatakan? Prestasi terbaik mereka adalah hanya semasa Muhyiddin menjadi Perdana Menteri.
“Mereka sudah tiada apa untuk ditawarkan kecuali hanya merungut mengapa tidak dipilih untuk membentuk kerajaan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan, Barisan Nasional (BN) meraih kemenangan bergaya selepas calonnya Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani atau Awie menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) dengan memperoleh undian keseluruhan 9,091 undi sekali gus merampas semula kerusi DUN Nenggiri. –UTUSAN











