LANGKAWI: Tanggal 11 Ogos 1999 menjadi detik bersejarah buat Malaysia apabila pelayar negara, Datuk Azhar Mansor berjaya menamatkan misi pelayaran solonya setelah 190 hari mengelilingi dunia.
Meskipun cubaan berlayar tanpa henti tidak dapat dilakukan ekoran kerosakan tiang layar kapal Jalur Gemilang dikemudinya, Azhar menempa rekod sebagai orang pertama mengelilingi dunia secara solo melalui laluan baru, timur ke barat.
Namun, selepas kejayaan itu namanya terpalit dengan kontroversi tidak diduga beberapa tahun kemudian, sebelum kini dikatakan ‘sepi’ tanpa sebarang perkembangan.
Bagaimanapun, Azhar yang kini menginjak usia 66 tahun menegaskan, beliau bukan menghilangkan diri sebaliknya lebih selesa tidak menjadi tumpuan walaupun namanya amat dikenali seantero dunia.
“Saya bukan menghilang, saya secara peribadi dalam kelas pun duduk di belakang, saya tak duduk di depan. Tiada istilah hilang, saya sebati dengan laut tetapi saya suka berada di belakang tabir.
“Buat masa ini saya memang berada di Langkawi dan masih melakukan aktiviti sama di laut serta menjalani kehidupan macam orang biasa,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menyentuh pencapaian diciptanya kira-kira 25 tahun lalu, Azhar berkata, setiap detik yang ditempuh sepanjang pelayaran itu masih segar di mindanya terutama cabaran berhadapan tiang kapal layar yang patah dua.
“Saya tidak pernah lupa apa yang berlaku sepanjang 190 hari mengelilingi dunia sejauh 25,000 batu nautika bermula dari tarikh berlepas 2 Februari 1999 di Langkawi sehingga menjejakkan kaki semula pada pukul 11.55 malam, 11 Ogos 1999,” katanya.
Sementara itu, kata anak jati Kangar, Perlis itu, lebih ramai rakyat Malaysia yang mencapai kejayaan ketika ini termasuk atlet yang beraksi dalam Sukan Olimpik di Paris, baru-baru ini.
“Bagi saya mereka semua bekerja keras untuk berada di kedudukan itu dan mendapat apa yang mereka mahukan tetapi pada masa sama kita kena ikhlas sama ada dalam bidang akademik dan sukan.
“Tak perlu terlalu berfikir sesuatu perkara itu susah atau berat dan banyak halangan yang mendatang kerana yang penting kita kena cuba melakukannya dahulu,” ujarnya.
Namun, ujar Azhar, gaya hidup sekarang juga sudah berbeza disebabkan terlalu bergantung kepada gajet dan teknologi kerana baginya walaupun kedua-dua itu diperlukan pada zaman ini, tetapi ia dilihat menyekat anak muda menjalani hidup seperti manusia biasa. – UTUSAN










