WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden berkata perjanjian gencatan senjata di Gaza boleh menghalang Iran daripada menyerang Israel sebagai aksi tindak balas susulan kematian pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh sekali gus mengurangkan ketegangan serantau.
Kenyataan itu dibuat pada Selasa selepas Iran menolak rayuan barat untuk menarik balik ancaman itu.
Iran dan sekutunya menyalahkan Israel atas pembunuhan Ismail pada 31 Julai semasa beliau melakukan lawatan ke Teheran untuk menghadiri majlis angkat sumpah Presiden Iran, Masoud Pezeshkian.
Negara itu berikrar untuk membalas dendam atas kematian itu, yang berlaku beberapa jam selepas serangan Israel di Beirut yang membunuh seorang komander kanan Hezbollah, disokong oleh Iran di Lubnan.
Diplomat barat telah berusaha keras untuk menghalang konflik yang lagi besar terjadi di Asia Barat, di mana ketegangan telah memuncak akibat daripada perang Israel-Hamas di Gaza serta yang terbaharu, pembunuhan Ismail di Teheran.
Memetik tiga pegawai kanan Iran, Reuters melaporkan pada Selasa bahawa perjanjian gencatan senjata yang bakal termeterai pada minggu ini akan menghalang Iran daripada membalas dendam secara langsung terhadap Israel.
Rumah Putih memberi amaran bahawa Iran dan sekutunya bakal melancarkan serangan terhadap Israel pada minggu ini dan penilaian Israel pun memberi amaran yang sama juga.
AS telah mengerahkan kapal perang induk dan kapal selam peluru berpandu ke Asia Barat bagi menyokong sekutu rapatnya itu ketika konflik sedang memuncak di rantau tersebut.
Negara itu dan sekutunya, Eropah menggesa supaya gencatan senjata di antara Israel dan Hamas di Gaza dimeterai dengan cepat, dengan rundingan tersebut disambung semula pada esok.
Serangan Israel ke atas Gaza telah membunuh sekurang-kurangnya 39,929 orang, demikian menurut jumlah korban yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Gaza.-AGENSI










