Apa status keahlian Naib Juara Bintang RTM dalam Warisan?

Apa status keahlian Naib Juara Bintang RTM dalam Warisan?

Jo-anna Sue Henley Rampas
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketiadaan Naib Juara Bintang RTM 2009, Jo-anna Sue Henley Rampas dalam arena politik Sabah terjawab selepas beliau memberitahu sudah meletakkan kesemua jawatan dalam Parti Warisan (Warisan) sejak tahun lalu.

Bekas Timbalan Ketua Wirawati Warisan itu berkata, alasannya tidak terlibat dalam aktiviti politik kerana mahu memberi tumpuan menyambung pengajian peringkat ijazah doktor falsafah (PhD).

Bagaimanapun, Jo-anna dalam satu kenyataan terbaharu tidak menjelaskan status kesetiaan dan keahliannya dalam parti pimpinan Presiden Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal itu, malah tidak menyebut nama parti tersebut secara khusus.

“Begitu banyak spekulasi dalam media dan mungkin saya perlu jelaskan sekali lagi, walaupun saya sudah jelaskan Disember tahun lepas.”

“Saya mengundur diri daripada semua jawatan politik sejak tahun lalu kerana kembali menyambung pelajaran untuk PhD di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

“Saya tidak pernah terlibat dengan mana-mana parti politik sejak tahun lalu dan tidak bercadang bergiat aktif pada masa ini kerana sedang menyiapkan tesis dan penyelidikan yang mengambil masa sekurang-kurangnya 18 bulan hingga dua tahun lagi.

“Bagaimanapun, saya akan terlibat dalam perbualan dan berkongsi pendapat mengenai situasi semasa politik Sabah” katanya dalam kenyataan itu.

Sementara itu, sumber paling dipercayai dalam Warisan memberitahu Utusan Malaysia, Jo-anna Sue masih lagi ahli biasa dalam parti.

“Beliau sudah letak jawatan sejak tahun lalu, cuma tidak menjelaskan jika disebabkan melompat parti, hanya kerana beliau menyambung pengajian,” katanya.

Pada PRU15 lalu, Jo-anna Sue tewas dengan calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dengan majoriti 233 undi dalam pertembungan enam penjuru.

Beliau hanya meraih 5,728 undi selepas kali pertama bergiat dalam arena politik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN