GEORGE TOWN: Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid membuat laporan polis susulan beberapa fitnah yang dilemparkan terhadap beliau dalam media sosial sebelum ini.
Beliau berkata, antara fitnah itu yang mendakwa kononnya dia adalah anak kepada pemimpin Parti Komunis Malaya, Rashid Maidin.
“Saya bukan anak kepada Rashid Maidin, tetapi anak kepada Abdul Rashid Hanafi yang merupakan bekas pesara guru yang baru sahaja meninggal dunia awal Jun lalu.
“Ini merupakan fitnah yang sangat berbahaya dan sepatutnya tidak berlaku,” katanya selepas membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut dengan diiringi beberapa pemimpin DAP termasuk Pengerusinya, Lim Guan Eng dan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, di sini semalam.
Syeerlina berkata, laporan polis juga dibuat terhadap pihak yang memfitnah dirinya dalam sosial dengan mendakwa kononnya dia berjuang untuk menukar agama rasmi Malaysia dan akan menyerang institusi Islam khususnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
“Tuduhan-tuduhan ini adalah fitnah melampau yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan niat untuk mencipta persepsi negatif terhadap saya, parti saya dan kerajaan dalam kalangan masyarakat umum, terutama komuniti Melayu.
“Serangan seperti ini amat tidak bertanggungjawab dan mesti dihentikan. Ia bukan sahaja mencemarkan nama baik saya dan reputasi keluarga saya, tetapi, juga berpotensi menimbulkan ketegangan dalam masyarakat,” katanya. – UTUSAN











