ADUN Rembia wajib jawab sebelum bersidang - Rauf

ADUN Rembia perlu kemuka bukti sertai Pas sebelum DUN bersidang – Rauf

Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia perlu menjawab dan membuktikan bahawa beliau merupakan ahli Pas sebelum persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka akan datang.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, Datuk Muhamad Jailani Khamis perlu menyerahkan bukti bagi mengetahui kedudukan dalam parti sekali gus boleh membuat perubahan kedudukan kerusi pada sidang DUN nanti.

Jelasnya, sehingga ke hari ini, UMNO masih belum menerima warkah rasmi daripada Muhamad Jailani.

“Apabila tidak ada warkah rasmi, selain penerangan yang beliau buat kenyataan media, kita memerlukan satu bukti yang menunjukkan bahawa beliau telah menjadi ahli Pas sejak sekian lama.

“Dengan itu baru kita boleh mengambil langkah dan menilai sama ada kebenaran beliau sebagai ahli pas sejak sekian lama itu boleh diunjurkan sewaktu keputusan dibuat nanti. 

“Kita tunggu sehingga persidangan DUN berlangsung pada November. Kita perlu menunggu maklum balas dan bukti terperinci. Oleh itu, beliau wajib menjawab berkenaan penyertaannya ke dalam Pas sebelum sidang berlangsung untuk Speaker menentukan kedudukannya,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.

Terdahulu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengumumkan Muhamad Jailani yang sebelum ini digantung keahlian dalam UMNO, sah menyertai Pas.

Katanya, kemasukan Muhamad Jailani ke parti itu berkuat kuasa Jun tahun lalu sebelum DUN Melaka meluluskan Akta Anti Lompat Parti yang dinamakan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2023 pada 31 Julai 2023. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN