LUMUT: Polis menahan 30 warga Indonesia termasuk seorang tekong disyaki memasuki negara ini secara haram selepas bot dinaiki mereka rosak dan ditemui hanyut sekitar Tanjung Hantu, Segari, dekat sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdulla berkata, pihak polis menerima maklumat kehadiran bot itu pada pukul 8.34 malam Sabtu lalu.
“Polis marin menahan sebuah bot kayu dalam keadaan mencurigakan lebih kurang 9.8 batu nautika dari Tanjung Hantu, Segari, disyaki membawa warga asing menggunakan laluan yang tidak diwartakan,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, selepas berjaya menahan bot tersebut, polis marin membuat pemeriksaan dan menahan seorang tekong berusia 40an, 24 lelaki dewasa dan lima perempuan berusia antara 19 hingga 55 tahun kerana disyaki memasuki negara ini tanpa dokumen perjalanan sah.
Jelasnya, siasatan awal polis mendapati semua mereka telah berkumpul di Sabak Bernam, Selangor, sebelum menaiki bot itu pada 3 Ogos lalu.
Bagaimanapun, bot tersebut telah mengalami kerosakan menyebabkannya hanyut kira-kira lapan hari sebelum dikesan terapung sekitar perairan Perak.
Kata beliau, polis menyiasat kes itu di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 dan di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959. – UTUSAN










