GUA MUSANG: Kira-kira 2,200 peneroka di Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) akan menerima pemilikan tanah dalam masa terdekat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia melibatkan kawasan seluas 7,000 hektar dan proses pecah lot dengan setiap satunya seluas 3.18 hektar sudah selesai dilakukan.
Menurutnya, proses itu tidak mempunyai kaitan dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri yang sedang berlangsung ketika ini kerana ia sudah dilakukan sebelum PRK berlaku lagi.
“Jumlah ini melibatkan seluruh kawasan Kesedar, bukan Nenggiri semata-mata,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Temu Mata bersama Warga Peneroka Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dan Masyarakat Renok di Dewan Gerakan Desa Wawasan Kampung Renok Baru di sini semalam.
Ahmad Zahid yang Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, beliau akan berusaha sebaik mungkin menyelesaikan masalah yang berbangkit termasuk isu pemilikan tanah.
Pada masa sama katanya, kerajaan negeri diingatkan supaya tidak mengugut rakyat dengan mengatakan kuasa penyerahan hak milik tanah hanya boleh dilakukan oleh mereka sahaja.
“Itu tidak betul kerana ia membabitkan tanah Kesedar. Kita yang bayar premium, kerajaan negeri tiada hak,” ujarnya.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, kerajaan akan menyiasat dakwaan kenderaan milik Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) digunakan untuk kempen Barisan Nasional (BN) pada PRK DUN Nenggiri ketika ini.
Menurutnya, pihak yang membuat dakwaan itu disaran mengemukakan bukti kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membolehkan tindakan diambil.
“Jangan hanya tuduh kita sahaja yang menggunakan jentera kerajaan.
“Tetapi bagaimana pula dengan Kerajaan Negeri Kelantan, saya pasti ada,” katanya ketika diminta mengulas dakwaan Pengarah Operasi Pilihan Raya Pas Nenggiri Tan Sri Annuar Musa yang memuat naik gambar kenderaan kerajaan digunakan untuk kempen PRK Nenggiri.
Annuar mendakwa tindakan itu menyalahi peraturan
“Mereka cuba tutup logo JAKOA. Itu jelas percubaan dan sengaja melanggari peraturan. Tindakan sedang di ambil,” katanya. – UTUSAN










