BEIRUT: Presiden Lubnan, Joseph Aoun mempertahankan rundingan dengan Israel sambil menegaskan langkah itu bukan satu pengkhianatan dan beliau tidak akan menyerahkan sejengkal tanah kepada rejim Zionis itu.
Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz pada Rabu berkata, tentera Israel akan terus berada di kawasan yang disifatkannya sebagai zon keselamatan di Lubnan, Syria dan Semenanjung Gaza sehingga satu masa yang akan ditentukan kelak.
Lubnan minggu lalu menandatangani perjanjian rangka kerja disokong Amerika Syarikat (AS) dengan Israel bagi membuka laluan ke arah keamanan antara kedua-dua negara.
Namun, langkah itu mencetuskan bantahan besar daripada kumpulan Hizbullah yang disokong Iran.
Aoun berkata, rundingan dengan Israel bukan satu pengkhianatan, sebaliknya peperangan diplomatik tanpa pertumpahan darah yang tidak perlu.
Jelas Aoun, Beirut memutuskan untuk menyertai rundingan bagi memastikan pengunduran tentera Israel dari wilayah Lubnan.
“Kami tidak akan menyerahkan walau seinci pun wilayah Lubnan,” tegas Aoun.
Perjanjian rangka kerja itu memperuntukkan tentera Lubnan mengambil alih kawalan secara berperingkat di selatan Lubnan ketika Hizbullah melucutkan senjata, manakala Israel pula berundur dari kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, perjanjian itu tidak menetapkan sebarang tempoh masa bagi pelaksanaannya.
Butiran lanjut mengenai proses itu akan dihuraikan dalam lampiran keselamatan tetapi kandungannya masih belum didedahkan kepada umum.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, ketika melawat apa yang disifatkan sebagai zon keselamatan di selatan Lubnan pada Selasa, sekali lagi menegaskan tenteranya akan terus berada di kawasan itu selagi Hizbullah masih dianggap sebagai ancaman.
Konflik tercetus pada 2 Mac apabila Hizbullah melancarkan serangan peluru berpandu ke atas Israel sebagai tindak balas terhadap serangan AS-Israel yang mengorbankan bekas Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.
Israel kemudian melancarkan serangan udara dan pencerobohan darat yang mengorbankan lebih 4,200 orang di Lubnan, menurut pihak berkuasa negara itu. – AFP










