Jangan cemar naik baik negeri, lindungi penceroboh tanah - PSAP - Utusan Malaysia

Jangan cemar naik baik negeri, lindungi penceroboh tanah – PSAP

HASLIHELMY DM ZULHASLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

​KUANTAN: Semua pihak termasuk wakil rakyat, bekas wakil rakyat, pegawai kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diingatkan supaya tidak melindungi kegiatan pencerobohan tanah yang merugikan serta mencemar nama baik negeri ini.

Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP), Haslihelmy DM Zulhasli menegaskan, tindakan melindungi aktiviti haram itu bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah merupakan satu bentuk pengkhianatan nyata terhadap amanah yang diberikan oleh rakyat Pahang.

Menurutnya, isu pencerobohan tanah tidak boleh dipandang remeh kerana ia memberi kesan langsung kepada hak rakyat, kelestarian alam sekitar dan masa depan generasi akan datang.

“Negeri Pahang tidak boleh dijadikan medan untuk kepentingan peribadi atau kelompok tertentu. Rakyat Pahang mahukan keadilan dan ketelusan. Jangan sesekali menggadaikan maruah negeri dengan melindungi penceroboh,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Haslihelmy menyatakan komitmen penuh PSAP dalam menjunjung titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu tindakan tegas diambil tanpa kompromi bagi memastikan tanah negeri tidak diceroboh sewenang-wenangnya.

Sehubungan itu, beliau mendesak pihak berkuasa agar bertindak tegas ‘tanpa memilih bulu’, termasuk terhadap individu berpengaruh atau mereka yang cuba menggunakan kedudukan politik dan pentadbiran demi melindungi kepentingan peribadi.

​”Setiap pihak yang terlibat dalam pencerobohan mesti dikenakan tindakan sewajarnya berlandaskan undang-undang,” tegasnya.

​Dalam pada itu, PSAP turut menyeru seluruh rakyat Pahang untuk menyahut titah Sultan Pahang agar bertindak sebagai ‘mata dan telinga’ pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat tepat berhubung sebarang aktiviti pencerobohan di kawasan masing-masing.

Katanya, ​langkah tersebut penting bagi memastikan kedaulatan negeri sentiasa terpelihara dan hak rakyat tidak terus tergugat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

​”PSAP akan terus berdiri teguh bersama rakyat untuk memastikan tanah negeri ini dipertahankan demi kesejahteraan bersama,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN