GEORGE TOWN : Sebanyak 16 Notis Tawaran Kompaun (NTK) atas pelbagai kesalahan dan ketidakakuran telah dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menerusi Jabatan Pelesenan dalam satu operasi penguatkuasaan atau Op Bersih terhadap premis-premis perniagaan di daerah Barat Daya, semalam.
Jurucakap MBPP berkata, tindakan itu diambil susulan pemeriksaan dan pemantauan yang dijalankan terhadap 32 buah premis perniagaan termasuk kedai runcit, kedai makan, perkhidmatan serta perniagaan komersial di situ.
Katanya, operasi yang bermula seawal pukul 11 pagi itu disertai oleh lima orang Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran bersama tujuh Pembantu Penguatkuasa (Merinyu Lesen) dari Jabatan Pelesenan MBPP.
“Antara kesalahan yang dikesan sepanjang operasi itu termasuk kebersihan premis yang tidak memuaskan, meletakkan bahan makanan pada ketinggian kurang 20 sentimeter (cm) dari paras lantai serta tidak mengambil langkah-langkah bagi mengelakkan makanan daripada tercemar seperti tidak menutup makanan yang tersedia untuk dijual dan bekas penyimpanan bahan mentah tidak bersih.
“Kesalahan lain ialah pekerja dikesan tidak menjalani pemeriksaan kesihatan dan tidak mempunyai kad imunisasi, menggunakan bungkusan yang tidak bersih, lantai premis yang tidak diselenggara atau dibaik pulih dengan baik, meletakkan peralatan perniagaan sehingga menghalang laluan, meletakkan sampah di tempat awam dan lain-lain,” katanya di sini, hari ini.
Sementara itu katanya, dalam operasi yang sama juga, dua kompaun telah dikeluarkan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) 3, Undang-Undang Kecil Tred, Perniagaan & Perindustrian MPPP 1991 kerana mengendalikan aktiviti tred perniagaan tanpa lesen yang sah dikeluarkan oleh MBPP.
“Hasil pemeriksaan dan pengawasan yang dijalankan, pihak Majlis (MBPP) berpuas hati kerana tiada aktiviti perniagaan atau perusahaaan syarikat yang dikendalikan secara milikan sepenuhnya oleh warganegara asing.
“Setakat ini, pemeriksaan mendapati, pemilikan, entiti dan butiran dokumen perakuan rasmi Perniagaan Sijil Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) adalah milik warga tempatan,” ujar beliau.
Tambahnya, sempena operasi itu juga, pegawai MBPP yang terlibat turut mengambil kesempatan untuk menyampaikan maklumat, advokasi serta nasihat sewajarnya kepada para peniaga untuk mematuhi undang-undang dan peraturan-peratuan yang telah ditetapkan selain mengimprovisasi elemen-elemen dan indikator yang disenaraikan.
“Turut diadakan adalah sesi taklimat ringkas mengenai pelaksanaan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca yang berkuatkuasa 1 Julai yang lalu,” jelas beliau.-UTUSAN










