GEORGE TOWN : Sebanyak 10 notis kompaun atas pelbagai kesalahan dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kepada beberapa premis perniagaan runcit dan makanan dalam satu operasi penguatkuasaan di sekitar daerah Barat Daya, semalam.
Jurucakap MBPP berkata, operasi yang memfokuskan empat buah premis perniagaan itu melibatkan lima pegawai dari Unit Tred, Industri dan Establisymen Makanan, Jabatan Pelesenan serta lima pegawai dari Jabatan Perkhidmatan Perbandaran.
“Dalam operasi yang bermula kira-kira pukul 2.30 petang itu, hampir kesemua premis yang diperiksa tidak memiliki lesen perniagaan sah yang dikeluarkan oleh MBPP dan kesemuanya juga telah dikenakan kompaun.
“Ini termasuk sebuah kedai serbaneka yang menjual makanan sejuk beku yang didapati telah meletak bahan jualan makanan dan minuman mereka di atas lantai premis.
“Turut dikesan ialah dua buah premis makanan telah didapati tidak menyelenggara perangkap minyak dengan betul dan membiarkan sisa makanan disalurkan terus ke dalam parit longkang,” katanya di sini, hari ini. –UTUSAN










