12 peniaga Bazar syawal Jalan Masjid India dikompaun

12 peniaga Bazar syawal Jalan Masjid India dikompaun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 12 peniaga dikompaun dalam pemantauan dan penguatkuasaan ke atas aktiviti perniagaan di Bazar Syawal Lorong Tuanku Abdul Rahman, Jalan Masjid India dekat sini, Khamis lalu.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan berkata, operasi itu dilakukan ke atas pemilik perniagaan atau pemegang lesen Bazar Syawal bagi pematuhan syarat lesen yang dikeluarkan.

Menurutnya, ia untuk memastikan tiada pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) aktiviti perniagaan seperti pembabitan pembantu warga asing, jual tapak niaga (ali baba lesen), membuat halangan laluan awam dan kesalahan lain berkaitan.

“Susulan itu, sebanyak 12 notis kompaun dikeluarkan ke atas 12 pemilik aktiviti perniagaan yang melakukan kesalahan membabitkan enam notis pemegang lesen tiada di tapak bazar dan enam notis menjalankan aktiviti menjaja tanpa kebenaran sah

“Selain itu, turut diambil dua tindakan sita barangan dan peralatan penjaja tanpa lesen (air balang) yang meninggalkan barangan dipercayai warga asing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, semua tindakan itu dilaksanakan mengikut kesalahan Undang–undang Kecil Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016.

Jelasnya, DBKL turut mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap kenderaan yang melakukan kesalahan dan pelanggaran isyarat lalu lintas sekitar kawasan tumpuan di Masjid India.

“Sebanyak lapan kereta ditunda dan 317 notis kompaun dikeluarkan kepada pemilik kenderaan yang membuat halangan lalu lintas dan meletakkan kenderaan di laluan pejalan kaki awam, bas dan orang kurang upaya (OKU) serta halangan kawasan khemah peniaga bazar.

“Tindakan pengutkuasaan diambil mengikut Kaedah-kaedah Lalulintas Jalan 1959 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

DBKL mengingatkan pengunjung bazar Syawal supaya menjaga keselamatan diri dan memastikan kenderaan mereka tidak menghalang mana-mana laluan awam.

“Orang ramai dinasihatkan mematuhi arahan semasa daripada pasukan Warden Trafik DBKL dan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) di lokasi. Penggunaan pengangkutan awam digalakkan untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN