KUBANG PASU: Seramai 1,240 warga Sekolah Kebangsaan (SK) Darulaman Heights mengabadikan rasa cinta terhadap negara melalui penghasilan Jalur Gemilang berukuran 20 meter panjang dan selebar hampir tiga meter menggunakan cap tangan masing-masing.
Guru besarnya, Mafezzul Mohamad berkata, inisiatif julung kali dilaksanakan itu bertujuan memupuk semangat perpaduan serta kebersamaan warga sekolah terutamanya dalam kalangan murid-murid sempena sambutan bulan kebangsaan.
Selain itu katanya, pihak sekolah turut memberi penekanan terhadap murid mengenai peri pentingnya semangat patriotik serta sayangkan negara menerusi penghasilan Jalur Gemilang gergasi itu.
“Memang setiap tahun kami adakan sambutan bulan kebangsaan namun kali ini, pihak sekolah mahu tampilkan kelainan. Melalui perbincangan dijalankan, kami menghasilkan bendera gergasi yang menampilkan cap tangan setiap warga sekolah bermula dari murid, guru serta kakitangan am dan sokongan.
“Dengan kos kira-kira RM500, kami mengambil masa kira-kira seminggu untuk menyiapkannya. Kami sentiasa beritahu murid bahawa cap tangan mereka akan kekal di kain ini manakala semangat cintakan negara perlu terus kukuh di hati,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Selain penghasilan Jalur Gemilang gergasi itu, pihak sekolah turut merancang pelbagai lagi program antaranya Larian Jiwa Merdeka pada 29 Ogos ini.
Sementara itu, salah seorang guru, Nurhanis Zamshah berkata, kebanyakan murid pada mulanya tidak mengetahui apa yang hendak dilakukan dengan kain sebesar itu.
“Apabila mereka diminta untuk mengecap tangan, mereka tertanya-tanya apa tujuannya. Namun apabila Jalur Gemilang itu sudah siap dan dibentangkan, terpancar wajah gembira masing-masing melihat hasil kerja tangan mereka.
“Semua pihak bekerja keras menghasilkan Jalur Gemilang gergasi ini bermula daripada melukis, memandu anak-anak mengecap tangan serta menggantungnya di bangunan sekolah. Kami harap usaha ini menjadi antara kenangan terbaik apabila mereka dewasa nanti,” katanya. – UTUSAN










