10 nelayan asing 'upahan' dicekup guna bubu naga - Utusan Malaysia

10 nelayan asing ‘upahan’ dicekup guna bubu naga

Nelayan bubu naga
ANTARA nelayan asing yang ditahan dalam serbuan di perairan Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: Kegiatan haram 10 nelayan warga Myanmar yang disyaki diupah mencuri hasil laut dengan bubu naga tumpas selepas dicekup di perairan Sungai Besar di sini, semalam.

Kesemua lelaki berusia 26 hingga 54 tahun dipercayai digajikan warga tempatan itu ditahan Jabatan Perikanan Selangor dan Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang, kira-kira pukul 8 pagi.

Pengarah Perikanan negeri, Noraisyah Abu Bakar berkata, ketika serbuan nelayan yang dipercayai tiada dokumen perjalanan sah itu sedang leka menangkap ikan.

“Pemeriksaan lanjut turut membawa kepada rampasan lima bot vesel dan peralatan bubu naga. Mereka yang dipercayai pendatang asing tanpa izin (Pati) itu diupah warga tempatan untuk beroperasi di sekitar perairan Sungai Besar,” katanya hari ini.

Tambahnya, semua tangkapan dan rampasan dibawa ke Pusat Tahanan Vesel Kuala Selangor bagi tindakan lanjut.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 8(a) Akta Perikanan 1985 kerana mengusahakan penangkapan ikan tanpa lesen sah. Kesalahan penggunaan bubu naga pula disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan Cara Menangkap Ikan) 1980,” ujarnya.

Tambah beliau, pihaknya sedang mengenal pasti majikan nelayan asing itu selain menyiasat jumlah sebenar upah diterima mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN