Wanita usaha spa kecantikan di rumah didenda RM30,000 - Utusan Malaysia

Wanita usaha spa kecantikan di rumah didenda RM30,000

MURNI Nur Akma Idrus yang mengaku salah mengusahakan spa kecantikan di rumah tanpa permit dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang wanita didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini gara-gara mengusahakan spa kecantikan di rumahnya tanpa permit.

Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli membuat keputusan itu hari ini selepas Murni Nur Akma Idrus, 25, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Murni Nur Akma bagaimanapun gagal membayar denda berkenaan dan diarahkan oleh mahkamah untuk menjalani hukuman penjara selama tiga bulan.

Berdasarkan pertuduhan, wanita itu didakwa menyediakan satu klinik perubatan swasta tanpa didaftarkan di bawah Seksyen 27 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).

Murni Nur Akma didapati melakukan kesalahan itu di sebuah rumah pangsa di Kampung Bukit Kecil di sini, kira-kira pukul 3.50 petang pada 11 Oktober 2022.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta 586 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 5(1) Akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sampai RM300,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya.

Pihak pendakwaan dalam hujahannya meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal mengambil kira tertuduh bukan pengamal perubatan berdaftar atau bertauliah.

Mahkamah kemudian mendenda tertuduh sebanyak RM30,000 dan tiga bulan penjara jika gagal membayarnya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Nozaizeli Abu Samah dan Shamsulnizam Kassim manakala tertuduh diwakili Nurul Najmi Adila Mohd. Nasir. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN